KENDERAAN yang membawa ketua de facto Anwar Ibrahim kembali ke penjara Sungai Buloh terbabit dalam kemalangan sekitar jam 12.30 tengahari tadi.
Anwar bagaimanapun dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius namun akan menjalani pemeriksaan oleh Timbalan Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Jeyaindran Sinnathurai, kata peguamnya R Sivarasa dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Sivarasa, kemalangan berkenaan berlaku persimpangan lampu isyarat berdekatan Saujana Utama ketika konvoi itu membawa Anwar kembali ke Penjara Sungai Buloh dari Hospital Kuala Lumpur.
“Pegawai penjara yang memandu kenderaan yang membawa Anwar terpaksa menghentikan kenderaan secara mengejut untuk mengelakkan kenderaan dari arah bertentangan namun kereta pengiring di belakang merempuhnya. Kenderaan yang membawa Anwar mengalami kerosakan teruk pada bahagian belakang,” kata Sivarasa.
“Syukur Anwar tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal yang serius namun agak terkejut dan telah diberikan ubat tahan sakit selepas dirawat oleh doktor di Penjara Sungai Buloh.
“Dr Jeyaindran Sinnathurai dijadualkan untuk berjumpanya pada jam 5 petang hari dan akan membuat keputusan selepas pemeriksaan itu sama ada Anwar perlukan rawatan lanjut di hospital.”
Anwar dimasukkan ke hospital pada Rabu kerana tekanan darahnya tidak stabil, kata isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail kepada The Malaysian Insight.
Beliau kini menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan liwat, iaitu pendakwaan yang didakwa pembangkang bermotifkan politik. – 22 September, 2017.
Komen