Siasatan Suhakam terhadap kehilangan pastor, isteri bermula 


Noel Achariam

TUGAS mencabar menanti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) apabila siasatan awam terhadap kehilangan Pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Sitepu bermula hari ini.

Ini kerana tidak banyak yang diketahui mengenai pasangan yang dilaporkan hilang dari Petaling Jaya pada 2016.

Setakat ini, polis dan pihak berkuasa lain gagal memperoleh sebarang maklumat atau petunjuk baharu di mana mereka berada.

Satu-satunya maklumat yang polis peroleh ialah kehilangan mereka dilaporkan oleh rakan baik Joshua, Peter Pormannan, yang mengenali pasangan itu sejak 2012.

Bulan lalu, Peter memberitahu The Malaysian Insight beliau ragu-ragu mengenai siasatan awam tersebut kerana sudah terlalu banyak masa berlalu.

Panel siasatan Suhakam akan dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Hishamuddin Yunus dan dibantu oleh Pesuruhjaya Jerald Joseph dan Madeline Berma.

Pormannan berkata siasatan awam itu pasti akan menemui kesukaran kerana tiada saksi atau maklumat selain daripada laporan kehilangan pasangan itu.

Joshua, asalnya beragama Islam sebelum menukar agama kepada Kristian. Beliau dan Ruth kali terakhir dilihat pada 30 November 2016.

Ini merupakan siasatan awam ketiga oleh Suhakam, selepas siasatan atas kehilangan Pastor Raymond Koh dan pengasas Perlis Hope Amri Che Mat pada 2018. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Februari, 2020.

Kehilangan Ruth dilaporkan oleh abang Ruth, Iman Setiawan Sitepu dan adiknya, Ram Ram Elisabeth pada 2018.

Keluarga Ruth tinggal di perkampungan nelayan di Nambiki di utara Sumatera, Indonesia. Mereka mendapat tahu tentang kehilangannya pada Mac 2017 tetapi tidak dapat datang ke Malaysia lebih awal atas masalah kewangan.

Kali terakhir mereka bercakap dengan Ruth pada November 2016.

Ini merupakan siasatan awam ketiga oleh Suhakam, selepas siasatan atas kehilangan Pastor Raymond Koh dan pengasas Perlis Hope Amri Che Mat pada 2018. Panel siasatan Suhakam merumuskan kedua-dua kes adalah kehilangan paksa.

Dalam kes Koh dan Amri, panel sebulat suara mendapati Cawangan Khas dari Bukit Aman menculik kedua-duanya dalam satu operasi ala komando.

Amri diculik pada 24 November 2016. Dalam siasatan awam itu, panel diberitahu bahawa Amri dalam pengawasan polis kerana didakwa terbabit dengan aktiviti Syiah.

Koh pula diculik pada 13 Februari 2017. Laporan polis dibuat terhadapnya beberapa bulan kemudian kerana didakwa memurtadkan golongan belia. – 18 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen