Majlis Peguam ambil tindakan peguam mengaku ‘rasis’


Alfian Z.M. Tahir

Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz secara terbuka mengakui rasis, dalam satu temu bual bulan lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Februari, 2020.

MAJLIS Peguam mengambil tindakan terhadap peguam kontroversi Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang secara terbuka mengakui rasis, dalam satu temu bual bulan lalu.

Presidennya Abdul Fareed Abdul Ghafoor berkata langkah perlu diambil terhadap Khairul Azam kerana ada garis panduan tatalaku peguam di tempat awam.

“Kami sudah mengambil langkah perlu dalam perkara ini tetapi tidak dapat mendedahkannya. Ia sulit tetapi tindakan sudah diambil.

“Bagi peguam, ada garis panduan yang perlu diikut dan kami perlu bertindak sewajarnya,” kata Fareed.

Dalam satu temu bual dengan The Malaysian Insight pada Januari, Khairul Azam mengakui beliau seorang rasis dan mendakwa semua orang pun rasis.

“Siapa yang tidak rasis? semua orang rasis. Jadi kenapa anda mahu tuduh orang Melayu rasis?,” katanya.

Khairul yang juga naib presiden parti politik Putra, sering memuat naik di media sosial berkaitan isu Melayu di akaun Twitter @suakeris.

“Kalau orang marah dengan apa yang saya tulis, maknanya misi saya tercapai,” katanya.

Kecoh sebelum ini, apabila Khairul yang berkata mewakili “ibu bapa Melayu” bercakap tentang dekorasi sambutan Tahun Baharu Cina di sekolah, di mana beliau berkata ia cubaan memurtadkan murid Melayu Islam. – 14 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen