PENULARAN Covid-19 boleh menyebabkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menyusut antara 0.1 hingga 2%, kata pakar ekonomi.
Ini susulan pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) yang ekonomi Malaysia berkembang 3.6% pada suku keempat 2019, menjadikan pertumbuhan KDNK tahun penuh kepada 4.3%, berbanding 4.7% pada 2018.
Ia merupakan yang terendah sejak krisis kewangan 2009 berikutan gangguan bekalan dalam sektor komoditi pada suku tahun tersebut.
Gabenor BNM Nor Shamsiah Mohd Yunus semalam berkata penularan Covid-19 dijangka memberi kesan kepada pertumbuhan KDNK Malaysia bagi suku pertama 2020, bergantung kepada bagaimana virus itu merebak.
Pertumbuhan ekonomi rendah bermakna kadar pengangguran lebih tinggi, pendapatan berkurang dan taraf hidup yang menurun.
Bank Dunia meramalkan pertumbuhan KDNK Malaysia pada tahun ini akan berkembang pada 4.5%. Bagaimanapun, ramalan dibuat sebelum penularan Covid-19 di Wuhan, China pada Disember lalu yang kini sudah meragut lebih 1,000 nyawa.
Felo Kanan di Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Dr Shankaran Nambiar berkata ekonomi Malaysia dalam keadaan baik jika mampu mencapai pertumbuhan KDNK tahun penuh 4.2% bagi 2020, ekoran penularan Covid-19 dan kesannya ke atas China.
Selain itu, aktiviti pelancongan antarabangsa yang kurang rancak dan pasaran domestik yang lembap juga mungkin menjadi faktor kepada pertumbuhan ekonomi yang perlahan. – 13 Februari, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen