KDNK 2019 4.3%, terendah sejak 2009


Gabenor BNM Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata penularan Covid-19 dijangka memberi kesan kepada pertumbuhan KDNK Malaysia bagi suku pertama 2020. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Februari, 2020.

EKONOMI Malaysia berkembang 3.6% pada suku keempat 2019, menjadikan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun penuh kepada 4.3%, terendah sejak krisis kewangan 2009 berikutan gangguan bekalan dalam sektor komoditi pada suku tahun tersebut.

Walaupun pertumbuhan tahun penuh dalam unjuran BNM antara 4.3-4.8%, ia boleh menjadi lebih tinggi pada 4.7% tanpa gangguan bekalan dalam sektor komoditi, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Penularan Covid-19 dijangka memberi kesan kepada pertumbuhan KDNK Malaysia bagi suku pertama 2020, bergantung kepada bagaimana virus itu merebak, kata Gabenornya Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Pada 2018, pertumbuhan KDNK negara pada 4.7%.

Tahun lepas, ekonomi Malaysia dipacu oleh perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi (7.4% berbanding suku ketiga 2019: 5.4%) pada suku keempat 2019, katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Penggunaan swasta meningkat dengan kukuh sebanyak 8.1% (suku ketiga 2019: 7%), manakala pelaburan swasta mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 4.2% (suku ketiga 2019: 0.3%).

 Berdasarkan pelarasan bermusim suku tahunan, ekonomi meningkat sebanyak 0.6% (suku ketiga 2019: 0.9%).

Inflasi keseluruhan adalah rendah sebanyak 1.0v bagi suku keempat 2019, menjadikan kadar inflasi 2019 sebanyak 0.7%.

Pada suku tahun itu, purata inflasi keseluruhan adalah lebih rendah mencerminkan terutamanya luputnya kesan daripada pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). Inflasi teras, yang tidak mengambil kira kesan perubahan dasar cukai penggunaan, stabil pada 1.4%, katanya.

Menjelang 2020, katanya impak keseluruhan daripada Covid-19 ke atas ekonomi Malaysia, bagaimanapun, bergantung kepada tempoh masa dan penyebaran virus tersebut serta langkah tindak balas dasar yang diambil oleh pihak berkuasa.

BNM mencadangkan beberapa langkah yang akan diperkenalkan dalam pakej rangsangan Covid-19.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah menyatakan pakej rangsangan akan diumumkan selewat-lewatnya pada awal Mac dan berdasarkan impak daripada virus itu yang berasal dari Wuhan, China.

Bagi keseluruhan 2020, pertumbuhan akan disokong oleh perbelanjaan isi rumah dan pelaksanaan projek pelaburan swasta yang diluluskan baru-baru ini serta perbelanjaan modal sektor awam yang lebih tinggi, kata Nor Shamsiah.

Bagaimanapun, katanya masih terdapat risiko yang boleh menyebabkan pertumbuhan menjadi lebih perlahan.

Ini termasuklah ketidakpastian mengenai keadaan luaran akibat penularan koronavirus, pelbagai rundingan perdagangan dan risiko geopolitik, dan faktor-faktor dalam negeri, termasuk kelemahan dalam sektor komoditi dan kelewatan pelaksanaan projek.

Oleh itu, volatiliti dalam aliran masuk dan keluar modal serta kadar pertukaran dijangka berlaku.

Purata inflasi keseluruhan bagi 2020 diunjurkan lebih tinggi berbanding 2019, tetapi kekal pada tahap sederhana.

Trajektori inflasi keseluruhan akan bergantung kepada perkembangan harga minyak dan harga komoditi sedunia serta masa pemansuhan harga siling bagi harga runcit bahan api domestik.

“Inflasi asas pada amnya dijangka stabil, mencerminkan aktiviti ekonomi yang terus berkembang dan ketiadaan tekanan permintaan yang besar,” katanya. – Bernama, 12 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen