Matta anjur pameran rangsang industri yang terjejas kerana koronavirus


Khoo Gek San

PAMERAN pelancongan dalam negara akan diadakan pada April depan bagi membantu industri pelancongan pulih daripada kesan wabak koronavirus, kata Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta).

Presidennya Tan Kok Liang berkata pameran Cuti-Cuti Malaysia yang julung kali diadakan itu akan bermula pada 4 sehingga 5 April bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

“Selaras dengan sentimen semasa, ini adalah masa terbaik untuk melancarkan pameran baharu Matta untuk pelancongan dalam negara. Ia adalah masa terbaik untuk pelancong Malaysia menikmati percutian dalam negara dengan selamat tanpa sebarang kerisauan,” katanya, hari ini.

Tan berkata pameran Matta yang bertujuan mempromosi pelancongan luar dan dalam negara yang selalunya dibuat pada Mac akan ditangguhkan kepada Mei.

Katanya, pameran itu akan berlangsung pada 1 sehingga 3 Mei depan.

Usaha Matta untuk merangsang industri pelancongan dalam negara dibuat selepas pemain industri mendedahkan wabak koronavirus di China menyebabkan pembatalan sekurang-kurangnya 5,000 tempahan kumpulan pelancong sekaligus menyukarkan usaha mencapai sasaran Tahun Melawat Malaysia ditetapkan Putrajaya.

Pembatalan itu menjejaskan tempahan hotel dan restoran yang dianggarkan bernilai RM40 juta.

Sebilangan hotel membenarkan kumpulan pelancong itu menangguhkan lawatan, ada juga memberi tempoh masa sehingga dua bulan untuk pembayaran tempahan. Bagaimanapun, restoran tidak terlibat dalam usaha itu kerana ia tidak menawarkan pembayaran balik.

Kebanyakan pembatalan melibatkan kumpulan pelancong dari China yang sepatutnya tiba di Malaysia dalam bulan Januari sehingga Mac.

Putrajaya mensasarkan ketibaan 30 juta pelancong asing, termasuk empat juta dari China sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Penurunan ketibaan pelancong China ini sudah diramal, dan Tan sebelum ini berkata Matta sudah mula meneroka pasaran lain seperti negara Asia Tenggara, India dan pelancong tempatan menerusi rundingan dengan jabatan pelancongan negeri dan nasional.

Tambahnya, asas industri pelancongan Malaysia juga kukuh, seperti mana terbukti dengan kejayaannya menempuh wabak SARS dan MERS yang meledak pada 2012.

Sehingga pagi tadi, jumlah korban koronavirus di China sahaja mencecah 1,016 orang, manakala dua lagi dilaporkan maut di Hong Kong dan Filipina. – 11 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen