LUPAKAN Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) ketika ini kerana industri pelancongan kini menanggung kesan wabak koronavirus di China menyaksikan sekurang-kurangnya 5,000 pembatalan kumpulan pelancongan, kata pemain dalam industri itu.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight yang mereka terperangkap dalam kerugian besar sebanyak RM400 juta yang telah dibayar untuk tempahan hotel dan restoran.
Sesetengah hotel pula terpaksa membenarkan kumpulan pelancongan menjadual semula perjalanan, sementara yang lain memberi tempoh ehsan sehingga dua bulan untuk pembayaran tempahan.
Tetapi itu tidak berlaku untuk restoran di mana tidak ada pulangan pembayaran semula. Kebanyakan pembatalan melibatkan kumpulan pelancongan dari China untuk tempoh Januari hingga Mac.
Putrajaya menyasarkan 30 juta ketibaan pelancong, termasuk 4 juta pengunjung dari China, bagi TMM2020.
Pemain industri pelancongan yang kini cuba meminimumkan kerugian, merayu kepada Putrajaya untuk memberi arahan kepada bank untuk mempercepatkan pinjaman oleh pengendali pelancongan dan untuk sementara waktu, menghentikan pengumpulan cukai berkaitan pelancongan sehingga krisis ini berakhir.
Wabak koronavirus bermula di bandar Wuhan, China, enam minggu lalu dan menjangkiti lebih 34,000 orang di samping membunuh lebih 720 nyawa, yang kebanyakannya di China. Malaysia setakat ini mencatatkan 16 kes jangkitan virus itu.
Presiden Persatuan Pelancongan China (Mica) Angie Ng memberitahu The Malaysian Insight, sektor pelancongan mendapat kesan susulan penularan wabak itu.
Virus yang membawa maut itu menyebabkan krisis sehingga mencetuskan kesan domino yang kepada syarikat pelancongan, syarikat penerbangan, syarikat bas pelancongan, hotel, sektor makanan dan minuman, penukaran wang, pelancongan perubatan dan juga peniaga jalanan.
Ng berkata pembatalan 5,000 kumpulan pelancongan juga menyebabkan semua wang yang dibayar untuk tempahan hotel dan restoran menjadi sia-sia.
“Tidak semua restoran dibuka pada Tahun Baharu Cina, dan mereka yang menerima tempahan untuk lawatan telah membuat persediaan yang perlu mengikut bilangan orang, dan hotel juga telah ditempah.
“Kumpulan pelancongan perlu membayar pendahuluan bagi semua tempahan ini, hotel boleh mengembalikan wang tetapi restoran tidak boleh berbuat demikian kerana semua makanan yang dibeli sudah rosak,” katanya.
Beliau berkata sesetengah hotel memahami isu yang dihadapi oleh syarikat pelancongan dan membenarkan mereka membuat tempahan semula.
Sesetengah hotel yang lebih kecil juga membenarkan tempoh bayaran dua bulan kerana kumpulan pelancongan menghadapi masalah aliran tunai yang serius akibat pembatalan.
Ng berharap Kementerian Kewangan akan mengumumkan pelan rangsangan untuk sektor pelancongan tidak lama lagi dan meminta kementerian itu memberi arahan kepada bank untuk mempercepatkan pinjaman oleh pengendali bas pelancongan dan persiaran.
“Saya juga mencadangkan supaya kerajaan berhenti sementara mengutip cukai berkaitan pelancongan sehinggalah pemain industri dapat mengatasi krisis ini,” katanya. – 9 Februari, 2020.
Berita penuh di sini
Komen