Syed Saddiq enggan layan tuduhan Pemuda Bersatu lemah


Zaim Ibrahim

Cara terbaik untuk melayan tuduhan itu adalah dengan bertanding secara sihat, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Februari, 2020.

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman mengambil sikap untuk tidak melayan tuduhan di kalangan akar umbi Pemuda Bersatu yang mendakwa sayap itu lemah bawah pimpinannya.

Ketua Pemuda itu berkata, cara terbaik untuk melayan tuduhan-tuduhan itu adalah dengan bertanding secara sihat tanpa memperkecilkan mana-mana pihak lawan.

“Berkenaan tuduhan bahawa Armada (Pemuda Bersatu) ini lemah dan lain-lain. Saya rasa cara terbaik untuk menjawab adalah bertanding secara sihat.

“(Saya mahu) menunjukkan bagaimana setiap calon dapat membangunkan Armada (Pemuda).

“Saya tidak akan sesekali pun mengecilkan mana-mana pihak lawan kerana mahu buktikan bahawa (pemilihan ini) akan majukan Bersatu (ke hadapan),” kata beliau.

Menteri belia dan sukan itu bercakap kepada pemberita dalam satu program di Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang.

Syed Saddiq berdepan cabaran daripada seorang ahli akademik Muzzammil Ismail dan seorang ahli perniagaan Razalif Mohd Zain untuk mempertahankan jawatannya dalam pemilihan sulung Bersatu.

Dua pencabar tersebut memberitahu The Malaysian Insight, Pemuda Bersatu tiada hala tuju jelas di bawah kepimpinan Syed Saddiq.

Mereka menegaskan Pemuda perlu diterajui pemimpin baharu untuk meraih semula sokongan anak muda.

Menurut calon ini, kemerosotan sokongan anak muda terhadap Bersatu dan juga Pakatan Harapan ketika ini dapat dilihat dalam beberapa keputusan PRK sejak tahun lalu.

Pemilihan peringkat cawangan dan bahagian Bersatu bermula pada akhir bulan lalu dengan pemilihan barisan jawatankuasa peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Pimpinan Tertinggi, termasuk sayap Wanita serta Pemuda. – 9 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen