PEMANDU kepada ahli perniagaan yang didakwa memberi rasuah kepada Rosmah Mansor memasukkan sejumlah wang RM100 ke dalam dua buah beg dan menghantar ke rumahnya di Taman Duta, Mahkamah Tinggi diberitahu pada permulaan perbicaraan kes rasuah isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu.
Pada minggu pertama perbicaraan menyaksikan saksi pendakwaan keempat Shamsul Rizal Sharbini memberi keterangan bagaimana beliau mengendalikan wang tunai dalam jumlah yang besar dan menghantarnya dua kali pada 2016 dan 2017.
Shamsul berkata dalam kejadian pertama yang berlaku pada 2016, beliau membantu majikannya Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin, memasukkan sejumlah besar wang tunai dalam dua beg yang hanya mampu diangkat satu persatu.
Beg berkenaan dihantar ke sebuah kediaman peribadi di Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang mana menurut pendakwa ia ada kaitan dengan Rosmah.
Shamsul sekali lagi menghantar wang ke sebuah kediaman di Taman Duta pada 2017, yang dimiliki Rosmah dan suaminya, bekas perdana menteri Najib Razak.
Menurut Shamsul pada kedua-dua kejadian yang beliau tidak ingat tarikh yang tepat, beluau melihat Saidi berhubung dengan pembantu Rosmah, Rizal Mansor.
Rosmah, 69, minta dibicarakan atas satu tuduhan meminta rasuah RM187.5 juta serta dua pertuduhan menerima rasuah RM6.5 juta antara 2016 dan 2017 berkaitan projek solar hybrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Dalam kertas pertuduhan, beliau didakwa menerima RM5 juta di Jalan Langgak Duta, Taman Duta pada 220 Disember, 2016 dan menerima lagi RM1.5 juta di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Perdana, Presint 10, Putrajaya pada 7 September, 2017.
Bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid yang juga saksi perbicaraan memberi keterangan bahawa dirinya menerima tekanan daripada Rosmah serta Saidi dan Najib, untuk meluluskan projek berkenaan bagi menggantikan generator diesel.
Mahdzir memberitahu mahkamah, pada majlis berbuka puasa pada Jun, 2016 Rosmah berkata kepadanya: “You tengokla project solar Cikgu Aazmey. Cepatkan sikit.”
Saksi mengenal pasti “Cikgu Aazmey” sebagai Aazmey Abu Talib, setiausaha Umno Pekan dan bekas pengarah pendidikan negeri Pahang, yang merupakan sebahagian daripada kumpulan Saidi yang berminat dalam projek berkenaan. – 9 Februari, 2020.
Komen