BEKAS menteri pendidikan Mahdzir Khalid memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau menerima tekanan pelbagai pihak untuk menganugerahkan projek hibrid solar di Sarawak kepada syarikat yang kurang berkemampuan termasuk dari Rosmah Mansor sendiri.
Ahli Parlimen Umno itu berkata beliau beberapa kali menerima tekanan dari Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin dan rakan perniagaan Saidi, Rayyan Radzwill Abdullah.
Malah katanya pada satu masa, beliau dimaklumkan bahawa khidmatnya sebagai anggota Kabinet juga tidak lama.
Rosmah, isteri bekas perdana menteri Najib Razak, berdepan tiga tuduhan rasuah, satu daripadanya beliau didakwa meminta RM187.5 juta daripada Saidi sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek hibrid solar sebanyak RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Wanita berusia 69 tahun itu juga didakwa menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta dari Saidi pada 2016 dan 2017.
“Saidi merupakan kenalan lama saya sejak 1990-an,” kata Mahdzir kepada mahkamah hari ini.
“Saidi merupakan ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu dan ahli perniagaan dari Bintulu, Sarawak.”
Ahli Parlimen Padang Terap itu berkata Saidi bertemunya pada hujung 2015.
“Saidi ada bertanya sama ada beliau boleh mengusulkan pelan bagi menggantikan generator berkuasa diesel. Daripada perbualan kami, saya menganggap Saidi mahu mengambil seluruh projek generator berkuasa diesel daripada kontraktor yang sedia ada dengan bantuan saya.
“Saya enggan memenuhi permintaan Saidi pada masa itu kerana kementerian pendidikan terikat dengan penyedia perkhidmatan yang sedia ada.
“Saya juga meragui keupayaan Jepak untuk mengambil alih projek solar hibrid yang melibatkan 369 buah sekolah. Pada masa itu, Saidi dilihat bersetuju dengan apa yang saya katakan.
Tiga bulan kemudian, Mahdzir menerima arahan pada 1 Disember 2015 daripada Najib yang merupakan perdana menteri pada ketika itu untuk membuat projek solar hibrid.
Mahdzir berkata beliau menerima satu lagi surat dari Pejabat Perdana Menteri.
Surat bertarikh 23 November 2015 daripada Jepak itu dihantar kepada perdana menteri untuk meminta dianugerahkan projek itu.
Katanya Najib turut menulis pada surat itu, “Bersetuju dilaksanakan sistem baru ini dan batalkan sistem lama.” – 6 Februari, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen