NAIB Presiden Parti Warisan Sabah Peter Anthony tiba di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah di Jalan Sulaman di Kota Kinabalu pada jam 9.30 pagi.
Beliau ditemani peguamnya, Martin Tommy dan terus ke dalam pejabat suruhanjaya itu.
Ini diikuti Setiausaha Agung Warisan Loretto Padua Jr yang tiba kira-kira lima kemudian.
Padua ketika dihampiri pemberita berkata beliau tidak dapat mengesahkan mengapa Anthoy dipanggil.
“Saya tak boleh cakap sekarang sehinggalah Tommy (peguam Anthony) keluar dari pejabat SPRM,” katanya.
Semalam, SPRM memanggil Presiden Warisan Shafie Apdal dan disoal siasat selama empat jam.
Berita Harian melaporkan yang ia mengenai perakuan Shafie kepada sebuah syarikat mendapatkan kontrak penyelenggaraan bernilai RM43 juta di sebuah universiti di Sabah.
Syarikat itu berkemungkinan milik Asli Jati Engineering milik Anthony.
Pada 2012, SPRM membersihkan Anthony daripada tuduhan tuntutan palsu berjumalah RM43 juta.
Beberapa ahli politik di Sabah terutamanya dari Warisan telah ditahan berkaitan siasatan atas dakwaan penyelewengan dana persekutuan berjumlah RM1.5 bilion yang sepatutnya untuk pembangunan negeri itu.
Anthony keluar dari pejabat SPRM bersama Padua dan Martin selepas kira-kira 20 minit.
Beliau berkata diarahkan ke pejabat SPRM Putrajaya pada jam 8.30 pagi esok.
“Hari ini saya dipanggil untuk membantu siasatan, tetapi tidak dimaklumkan apa yang sedang disiasat.
“Namun, pegawai yang bertugas hari ini memberitahu mereka telah mengeluarkan waran untuk saya hadir ke pejabat SPRM (di Putrajaya) esok,” katanya.
Pada 6 Oktober, Anthony ditahan reman lapan hari bagi membantu siasatan SPRM ke atas dakwaan penyelewengan dana persekutuan berjumlah RM1.5 bilion bagi projek luar bandar Sabah antara 2009 dan 2015. – 7 November, 2017.
Komen