SHAFIE Apdal sekali lagi dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, yang disahkan oleh pegawai suruhanjaya berkenaan.
Presiden Parti Warisan Sabah itu dipanggil antara jam 10 pagi dan 2 petang di pejabat SPRM Sabah, kata pegawai berkenaan yang enggan identitinya didedahkan.
Tiada pemimpin atu ahli parti Warisan yang boleh mengesahkan berhubung pertemuan empat jam Shafie dengan suruhanjaya berkenaan.
Namun salah seorang peguam Shafie berkata: “Beliau dipanggil hanya untuk memberi penjelasan biasa.”
Berita Harian yang memetik kenyataan setiausaha agung Warisan Loretto J Padua melaporkan Shafie dipanggil berhubung satu kes lama yang dibuka semula untuk siasatan oleh SPRM.
Akhbar harian itu melaporkan Shafie dipanggil berhubung cadangannya ke atas sebuah syarikat yang cuba mendapatkan projek penyelenggaraan RM43 juta daripada sebuah universiti di Sabah.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan kaitan antara universiti terbabit dengan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, memandangkan universiti adalah di bawah pengawasan Kementerian Pengajian Tinggi.
Pada 2012, SPRM menjalankan siasatan terhadap syarikat dimiliki oleh rakan Shafie, Peter Anthony berhubung dakwaan tuntutan palsu membabitkan RM43 juta berkenaan kontrak penyelenggaraan kejuruteraan dan mekanikal di Universiti Malaysia Sabah.
Bagaimanapun, SPRM menggugurkan tuduhan terhadap Anthony yang kini merupakan naib presiden Warisan, pada 9 Ogos tahun yang sama.
SPRM kini sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana persekutuan berjumlah RM1.5 bilion yang diperuntukkan kepada projek pembangunan luar bandar di Sabah di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah antara 2009 dan 2010.
Shafie merupakan menterinya ketika itu.
Sebelum ini, Shafie ditahan reman oleh SPRM selama lapan hari untuk membantu siasatan. – 6 November, 2017.
Komen