BEKAS kakitangan Kumpulan Utusan Melayu (M) Bhd dijangka dapat menerima bayaran tunggakan gaji seawal Mac apabila pelikuidasi berjaya mengutip hutang dan mencairkan sebahagian harta syarikat itu.
Sumber syarikat pelikuidasi, UHY Liquidators memberitahu The Malaysian Insight, firma itu mensasarkan dapat mencairkan 25% daripada keseluruhannya aset Utusan yang berjumlah RM200 juta.
“Dalam masa yang sama, kita aktif mengumpul duit daripada peminjam-peminjam Utusan.
“Hasilnya, kita mempunyai wang yang mencukupi membayar satu bulan gaji kepada bekas kakitangan Utusan, mungkin dapat dibayar pada Mac 2020,” katanya.
Jelasnya, firmanya mensasarkan untuk menjual hartanah bernilai RM50 juta daripada keseluruhan RM200 juta pada suku tahun ini.
“Hasil jualan itu, kita mampu bayar hutang kepada bank, bayar baki gaji pekerja dan juga pampasan VSS (skim pemisahan sukarela).
“Mungkin selepas suku pertama tahun ini, kita sasarkan dapat tingkatkan penjualan aset dan bayar lebih kepada pekerja,” tambahnya.
Menurut sumber, usaha itu masih sukar dilakukan disebabkan keadaan pasaran semasa yang lembab.
“Pasaran hartanah agak teruk, keyakinan pelabur juga rendah. Kita juga tidak boleh jual sewenang-wenangnya, kerana perlu mengikut harga pasaran,” jelas beliau lagi.
Namun beliau berharap kedudukan aset tersebut di lokasi strategik seperti berhampiran Bandar Malaysia, Kuala Lumpur akan membantu jualannya.
Berdasarkan dokumen senarai aset yang dibuka untuk jualan, Utusan memiliki 31 unit hartanah termasuk bangunan ibu pejabat dan sebuah kilang dua blok di Jalan Chan Sow Lin.
Selain itu, beberapa unit pejabat di Lembah Klang, kilang di Seberang Jaya dan Kuala Terengganu, serta beberapa unit kedai di selatan tanah air juga diiklankan untuk jualan.
Enam kenderaan berusia dari 2007 hingga 2015 dan mesin-mesin daripada kilang percetakan juga dibuka untuk penjualan.
“Ada beberapa aset juga telah dijual bernilai lebih daripada RM3 juta seperti bangunan di Shamelin, Kuala Lumpur dan Johor Bahru, tetapi kebanyakan digunakan untuk bayar hutang kepada bank,” jelas sumber.
Jualan itu diiklan di beberapa akhbar tempatan seperti The Edge, Berita Harian dan beberapa akhbar bahasa Cina sejak akhir bulan lalu, katanya.
“Setakat ini, 10 pihak telah tampil dan membeli Dokumen Maklumat Memorandum. Perkembangan ini agak perlahan kerana mungkin sibuk dengan perayaan Tahun Baru Cina,” kata sumber lagi.
Tiga bulan lalu, syarikat penerbit akhbar tertua Utusan Malaysia itu gulung tikar dan memberhentikan kira-kira 800 kakitangan, yang kini masih menunggu bayaran pampasan dan gaji tertunggak
Ratusan bekas kakitangan Utusan termasuk yang menerima skim pemisahan sukar itu masih menunggu syarikat tersebut melunaskan bayaran gaji tertunggak dan bayaran lain.
Lesen penerbitan Utusan kini berpindah tangan kepada syarikat baharu, Media Mulia Sdn Bhd yang dilaporkan akan menerbitkan semula akhbar tersebut seawal April. – 6 Februari, 2020.
Komen