PIHAK berkuasa sepatutnya menjaga keselamatan usahawan kosmetik Muhammad Sajad Kamaruzzaman, bukannya mempertikaikan perilakunya semasa mengerjakan umrah di Mekah, kata kumpulan hak asasi transgender Justice for Sisters.
Kumpulan itu menyelar Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa yang kesal dengan Sajad kerana memakai telekung ketika berada di tanah haram bersama keluarga dan rakan-rakannya.
“Bukan isu telekung yang patut lebih dibimbangkan, tetapi keselamatannya, hak dan privasinya yang diceroboh serta respon dari kerajaan terhadap isu ini.
“Reaksi Mujahid ke atas isu ini boleh menambahkan lagi kebimbangan terhadap keselamatan diri Sajad, keluarga dan rakan-rakannya di Malaysia dan di luar negara,” kata kumpulan itu.
Justice for Sisters menambah, perkongsian salinan pasport dan dokumen peribadi Sajad di media sosial tanpa kebenaran usahawan kosmetik melanggar Akta Perlindungan Data Peribadi.
“Daripada menyiasat orang yang mengongsikan dokumen perjalanan dan menyebarkan maklumat peribadinya, Mujahid dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kini berbincang tentang tindakan yang akan diambil terhadap Nur Sajat kerana memuat naik video ketika berada di Mekah.
“Kami menggesa Mujahid dan SKMM mengenal pasti dan mengambil tindakan hingga ke akar umbi mengenai perkara ini - pelanggaran data melalui doxxing, transfobia dan misogini dalam talian, dan keganasan berdasarkan gender.
Bernama melaporkan Mujahid semalam mengadakan mengadakan pertemuan dengan SKMM, berbincang mengenai tindakan terhadap Sajad kerana memuat naik video dan gambarnya memakai pakaian jemaah wanita di Mekah.
Beliau juga mengadakan pertemuan dengan agensi pelancongan umrah, Albayt Travel (M) Sdn Bhd, yang membawa Sajad dan keluarganya menunaikan umrah.
Mujahid berkata Sajad perlu mengerjakan ibadah umrah sebagai seorang lelaki berdasarkan keputusan fatwa muzakarah haji berhubung isu melibatkan ibadah haji atau umrah oleh golongan mukhannas. – 4 Februari, 2020.
Komen