Tindakan Sajad umrah pakai telekung boleh jejas hubungan negara, kata menteri


Tindakan usahawan terkenal Sajat yang mengerjakan umrah dengan berpakaian wanita mencetuskan kemarahan ramai. – Gambar Instagram, 3 Februari, 2020.

TINDAKAN usahawan kosmetik Muhammad Sajad Kamaruzaman serta rakan-rakan bertelekung sewaktu menjalankan umrah boleh menjejaskan hubungan Malaysia dengan Arab Saudi, kata menteri hal ehwal agama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof dilaporkan berkata, tindakan berpakaian seperti wanita ketika menjalankan umrah itu juga mencemarkan imej Islam.

“Saya kesal dengan tindakannya, sudahlah itu dipaparkan pula di Instagram seolah-olah bukan kesalahan,” katanya seperti dipetik dalam laporan Sinar Harian.

Jelasnya, tindakan Sajad, 35, yang popular dengan nama Sajat itu menceroboh ruang dikhaskan untuk wanita di tanah haram.

“Kad pengenalannya adalah lelaki dan dia seorang lelaki secara biologinya.

“Apabila di Makkah dia berpakaian telekung dan sudah tentu berpakaian wanita. Semua pergerakan, tempat yang dia lawati dan ruang solat dia adalah bersama wanita.

“Ini menimbulkan ketidakselesaan kerana ia telah menceroboh ruang dikhaskan kepada wanita,” katanya.

Tindakan Sajad mengerjakan umrah bersama rakan-rakannya dengan memakai telekung seperti seorang wanita itu dipaparkan di laman Instagram.

Tindakannya itu juga mendapat sokongan pengikut yang antara lain mendakwa kritikan ke atas Sajad itu satu serangan kerana mendakwa usahawan itu seorang khunsa.

Kementerian Mujahid melalui Timbalannya, Fuziah Salleh pernah membantu Sajad yang mendakwa menghadapi konflik identiti diri.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia juga dilaporkan berusaha menghubungi Sajad untuk menawarkan bantuan usahwan itu mendakwa status jantinanya kabur.

Status Sajad sebagai seorang lelaki tersebar apabila beliau diminta mengemukakan kad pengenalannya dalam satu kes mahkamah mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan pada 2018. – 3 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen