Tiada larangan sambut perayaan, kata TPM


Noel Achariam

Timbalab Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC)  di Kementerian Kesihatan hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 29 Januari, 2020.

PUTRAJAYA tidak akan melarang mana-mana acara perayaan walaupun berlaku penularan virus Wuhan ketika ini, kata Dr Wan Azizah Wan Ismail. 

Timbalan perdana menteri berkata ini termasuk perayaan Thaipusam yang jatuh pada 8 Februari ini.

Tambah beliau, tiada arahan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai larangan mengadakan perhimpunan besar.

“Kita akan tengok kepada perkembangan dahulu. Kalau WHO keluarkan arahan hentikan perhimpunan besar, maka kita akan keluarkan notis,” kata Wan Azizah kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC)  di Kementerian Kesihatan hari ini.

Timbalan perdana menteri ditanya apakah kerajaan akan melarang sambutan besar-besaranThaipusam di kuil Batu Caves, susulan penularan virus dari China.

Thaipusam adalah perayaan sempena memperingati kelahiran Dewa Murugan, iaitu anak lelaki Dewa Shiva dan Dewi Parvati. Ia juga bagi memperingati peristiwa di mana Dewa Murugan menerima lembing suci daripada ibunya bagi menghapuskan kuasa jahat bernama Soorapadman serta mengembalikan kemakmuran dan kesejahteraan manusia.

Wan Azizah juga berkata kerajaan juga tidak melarang sebarang aktiviti murid di sekolah.

Katanya, setakat 2 petang tadi tujuh kes disahkan positif koronavirus, dan kesemua pesakit adalah warga China.

“Ujian ke atas pesakit yang disyaki sudah dijalankan, 74 daripada mereka negatif, manakala lapan lagi masih menunggu keputusan.”

Berkenaan rancangan untuk membawa pulang 78 rakyat Malaysia yang berada di Wuhan, Wan Azizah berkata mereka akan dikuarantinkan sebaik sahaja tiba di negara ini.

“Kita ada SOP (Prosedur Operasi Standard). Kita mesti pastikan tiada siapa yang terdedah.

“Kita akan pastkan semua rakyat Malaysia dan persekitaran mereka selamat, dan kesejahteraan mereka yang dikuarantin juga terjamin.”

Terdahulu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Putrajaya akan berunding dengan China untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Wuhan.

Malaysia memohon China membenarkan mereka yang tidak sakit untuk pulang ke tanah air. – 29 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen