Virus Wuhan beri kesan terhadap industri pelancongan tempatan 


Khoo Gek San

Industri pelancongan jangka ketibaan 400,000 pelancong dari China antara 25 Januari dan 29 Januari namun sekatan perjalanan menyebabkan 80% daripadanya batal tempahan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Januari, 2020.

KUMPULAN pelancongan Malaysia berdepan kerugian kerana pembatalan dibuat oleh pelancong China susulan larangan perjalanan bagi mengekang penularan wabak virus Wuhan.

China mengenakan sekatan serta menutup 15 bandarnya sekaligus menjejaskan 57 juta penduduk dalam usaha kerajaan mengekang penyebaran novel koronavirus.

Malaysia merupakan salah sebuah negara yang turut terjejas susulan sekatan ini kerana 80% kumpulan pelancong dari China membatalkan tempahan mereka di negara ini, kata persatuan pelancongan kepada The Malaysian Insight.

Persatuan berkenaan turut merayu kepada pengendali hotel dan syarikat pengangkutan untuk membenarkan bayaran balik berikutan pembatalan ini, kata Pengerusi Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) Uzaidi Udani.

Menurutnya, industri berkenaan menjangkakan ketibaan kira-kira 400,000 pelancong dari China antara 25 Januari dan 29 Januari namun disebabkan sekatan perjalanan, 80% daripada mereka membatalkan perjalanan.

“Sehingga 1 Februari, tiada temu janji dari kumpulan pelancongan China,” kata Uzaidi kepada The Malaysian Insight.

Presiden Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA) Albert Tan Sam Soon berkata, kumpulan terakhir pelancong China tiba di Malaysia pada 23 dan 24 Januari.

Tiada lagi kumpulan pelancong yang tiba bermula 27 Januari.

Malaysia merupakan antara negara yang cuba mengekang penularan wabak novel koronavirus dari wilayah Wuhan di China yang menjangkiti lebih 4,000 penduduk dan meragut 106 nyawa di negara itu.

Putrajaya mengesahkan empat kes direkodkan di Malaysia dan kesemuanya melibatkan warganegara China yang bercuti di negara ini.

Lebih 100 kumpulan pelancong membuat pembatalan susulan sekatan perjalanan menyebabkan 60 agensi pelancongan dan 20 pengendali bas persiaran terjejas.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Januari, 2020.

Uzaidi juga berkata, pemain industri akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pelancongan bagi membincangkan situasi dan meminta bantuan untuk menguruskan kerugian susulan pembatalan itu.

Beliau berkata lebih 100 kumpulan pelancong membuat pembatalan, sehingga menjejaskan 60 agensi pelancongan dan 20 pengendali bas persiaran.

Tan dari MCTA berkata, agensi pelancongan terlibat kini sibuk membincangkan kemungkinan untuk bayaran balik dengan hotel, syarikat bas persiaran dan restoran.

“Sesetengah pengendali hotel bersetuju untuk membuat bayaran balik, sesetengah lagi sedia untuk menangguhkan bilik yang ditempah sehingga pelancong boleh kembali ke Malaysia.”

MCTA dan MITA yakin pelancong akan kembali ke Malaysia sebaik sahaja wabak itu reda.

Sementara itu, Menteri Pelancongan Mohammadin Ketapi dalam kenyataan pertamanya berhubung isu itu semalam berkata, beliau yakin Malaysia mampu mencapai sasaran 30 juta pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Sasaran masih 30 juta pelancong. Kalau ada impak kecil pun, datang dari Wuhan. Tetapi pelancong Australia dan Barat masih datang.

“Jika kita terjejas, ia kecil sahaja tetapi strategi kita masih cukup untuk capai sasaran,” kata Mohammadin.

Wabak berkenaan meragut lebih 106 mangsa di China, yang mana sebanyak 24 kematian direkodkan wilayah Hubei, dan jumlah kes di seluruh negara berkenaan melebihi 4,000.

Virus berkenaan mencetuskan kebimbangan global kerana ia sama seperti SARS yang meragut ratusan nyawa di seluruh China dan Hong Kong pada 2002 dan 2003.

Putrajaya pada Ahad mengumumkan penggantungan sementara semua visa pengunjung dari Wuhan, wilayah Hubei yang merupakan pusat penularan wabak berkenaan. – 29 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen