Buka lokasi tumpuan pelancong kepada semua, kata menteri


Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohammaddin Ketapi berkata kementeriannya akan menulis surat kepada pihak yang berkenaan dan meminta mereka tidak melarang pelancong berkunjung ke mana-mana lokasi tumpuan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 28 Januari, 2020.

LOKASI tumpuan pelancong hendaklah terus dibuka walaupun wujud kebimbangan terhadap penularan virus Novel Coronavirus 2019 (2019-nCoV) kerana pelawat yang masuk ke negara ini dalam keadaan sihat, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohammaddin Ketapi.

Katanya, kementerian akan menulis surat kepada pihak yang berkenaan dan meminta mereka tidak melarang pelancong berkunjung ke mana-mana lokasi tumpuan.

“Ini tidak sihat, salah apabila melarang orang sihat melawat negara ini,” kata Mohammaddin kepada pemberita di Putrajaya hari ini. 

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai maklumat terkini berkenaan kes koronavirus di negara ini bersama Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Mohammaddin mengulas laporan semalam mengenai dua lokasi tumpuan pelancong iaitu Masjid Putra di Putrajaya dan Masjid Wilayah Persekutuan ditutup kepada pelancong bukan Islam.

Katanya, pelancong yang sudah berada dalam negara sepatutnya tidak dihalang berkunjung atas kebimbangan yang tidak munasabah.

“Mereka sudahpun berada dalam negara dan kita sudah periksa, mereka sihat.

“Orang yang sihat tak sebarkan penyakit. Tak perlu langkah berjaga-jaga (di lokasi pelancong),” katanya.

Tambah beliau, kementeriannya yakin sasaran 30 juta pelancong bagi tahun ini boleh dicapai.

Sasaran masih 30 juta pelancong. Kalau ada impak kecil pun, datang dari Wuhan. Tetapi pelancong Australia dan Barat masih datang.

“Jika kita terjejas, ia kecil sahaja tetapi strategi kita masih cukup untuk capai sasaran.” – 28 Januari, 2020.    

Berita penuh di sini.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen