Dr Mahathir tak pernah ikut nasihat orang, kata Najib


Gan Pei Ling

“Dia ada masalah dengan semua timbalan. Semua orang ada masalah kecuali Dr Mahathir. Sebab Dr Mahathir sempurna, orang lain tak. Itulah dia,” kata Najib hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 5 November, 2017.

MENJELANG pilihan raya yang semakin hampir, Perdana Menteri Najib Razak meningkatkan serangan terhadap musuhnya yang berusia 92 tahun, Dr Mahathir Mohamad.

Pada Perhimpunan Agung Tahunan Ke-64 MCA, Najib memperlekehkan pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu yang menyalahkan polis berkaitan Operasi Lalang.

“Operasi Lalangnya meletakkan lebih 100 orang dalam penjara. Sekarang dia kata ‘saya kena dengar cakap polis’. Bila Dr Mahathir dengar cakap sesiapa?” kata Najib.

“Dia pernah dengar cakap timbalannya? Dia tak pernah.

“Dia ada masalah dengan semua timbalan. Semua orang ada masalah kecuali Dr Mahathir. Sebab Dr Mahathir sempurna, orang lain tak. Itulah dia,” kata Najib.

106 orang yang terdiri daripada ahli politik, ahli akademik dan aktivis ditahan tanpa bicara di bawah Operasi Lalang pada 1987. Kesan psikologi ditahan tanpa bicara masih lagi dirasai oleh sebahagian tahanan walaupun sudah tiga dekad berlalu.

Pada Rabu, Dr Mahathir rela dipersalahkan kerana operasi itu tetapi menegaskan ia adalah keputusan polis.

Najib mendakwa beliau telah memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) iaitu akta yang digunakan untuk menangkap mereka yang terlibat dalam Ops Lalang.

“Berapa ramai saya sumbat orang dalam ISA?

“Kosong. Sayalah yang hapuskan ISA,” katanya.

Kerajaan di bawah pimpinan Najib telah menggubal ISA pada 2012 setelah berdekad-dekad pemansuhan itu dilobi oleh pelbagai peringkat masyarakat, terutamanya dari kumpulan hak asasi manusia antarabangsa dan tempatan selain ahli parlimen pembangkang.

Sebagai ganti kepada ISA, BN memperkenalkan Sosma, akronim kepada Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.

Bagaimanapun, sejak diperkenalkan, Sosma telah digunakan terhadap ramai pengkritik kerajaan termasuk pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah, Khairuddin Abu Hassan yang membuat laporan berhubung 1Malaysia Development Bhd dan peguamnya Mathhias Chang.

Dalam masa sama, Najib turut menyalahkan Dr Mahathir atas krisis perlembagaan tahun 1988 yang membawa kepada perlucutan jawatan Ketua Hakim Negara Salleh Abbas, selain skandal melibatkan kilang besi Perwaja dan kerugian besar bank negara pada tahun 80-an.

“Jangan buang masa dengan pihak sebelah sana. Semuanya pura-pura,” katanya.

Najib merupakan salah seorang anggota kabinet sepanjang 22 tahun Dr Mahathir memerintah.

Pada 1986 beliau dilantik sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, di tahun 1990 diangkat sebagai Menteri Pertahanan, pada 1995 sebagai Menteri Pendidikan dan dilantik semula sebagai Menteri Pertahanan pada 1997. – November 5, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Hahaha... memang lah pun!!

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Chin Tu Lan · Ulasan