WAWASAN Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) bukanlah dasar berdasarkan kaum dalam usaha mendekatkan jurang pendapatan antara kelas sosial, wilayah dan gender, kata penyokong agenda pembangunan itu.
Mereka merasakan adalah tidak adil menggelarkan pelan pembangunan nasional itu sebagai “penjenamaan semula Dasar Ekonomi Baharu (DEB)” seperti kata pakar ekonomi sebelum ini, kerana DEB adalah dasar berdasarkan kaum.
Pemimpin PKR Khalid Jaafar, berkata, sebagai perbandingan WKB adalah dasar berasaskan keperluan yang memberi lebih tumpuan kepada kelas isi rumah dan wilayah.
Bagaimanapun, Khalid dan beberapa pemimpin Pakatan Harapan mengakui yang orang Melayu dan Bumiputera tertentu akan menjadi penerima manfaat terbesar WKB kerana mereka adalah kumpulan terbesar B40.
Bumiputera juga secara kebetulan membentuk majoriti penduduk yang tinggal di wilayah yang mempunyai isi rumah termiskin paling tinggi dalam negara seperti di Kelantan, Kedah, Sabah dan Sarawak.
“WKB adalah perubahan wacana yang sebelum ini berasaskan kaum kepada dasar yang lebih inklusif yang mempertimbangkan kelas sosial, wilayah dan gender,” kata Tian Chua, seorang lagi pemimpin PKR.
“Tetapi, kita tak boleh nafikan kaum tertentu mempunyai lebih ramai mereka yang tidak berkemampuan seperti Orang Asli, Bumiputera Sabah dan Sarawak, India dan Melayu yang tinggal di kawasan pedalaman,” kata Chua yang juga pegawai khas menteri kerja raya.

Bagaimanapun, tidak seperti dasar afirmatif pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini, pentadbiran PH mempunyai sistem penyampaian pelaksanaan program khusus dasarnya, kata pemimpin PH lagi.
Misalnya, bantuan dan infrastruktur akan diserakkan menerusi WKB akan dilakukan dengan telus bagi menghalang ketirisan dan memastikan ia sampai kepada kelompok sasaran.
“Kerana itulah pembaharuan institusi terutama sekali dalam perkhidmatan awam bergerak selari dengan agenda pembangunan,” kata Khalid, yang menerajui badan pemikir Institut Kajian Dasar (IKD).
Pembaharuan itu akan menjawab kecaman terhadap WKB, yang didakwa kekurangan mekanisme bagi menghalang ia dijarah kumpulan elit tertentu untuk kepentingan peribadi mereka.
Sistem penyampaian lebih baik
WKB adalah agenda pembangunan nasional 10 tahun diperkenalkan PH bermatlamat mengurangkan kesenjangan pendapatan antara kelas, gender dan wilayah.
Pemikir WKB mengakui dasar afirmatif pentadbiran BN menyebabkan wujudkan situasi penaungan apabila peluang dan bantuan kerap disalurkan kepada mereka yang mempunyai hubungan dan pengaruh politik.
Badan pemikir, Institut Massa, yang merupakan pemikir dan perancang bersama WKB berkata, berbanding kaedah memberikan permit dan lesen untuk membantu usahawan Bumiputera, dasar semasa akan memberikan tumpuan kepada proses dan usaha pembinaan kemahiran dan keupayaan.
“Ini adalah dasar afirmatif tanpa penindasan. Kita tak ambil perniagaan orang bukan Bumiputera dan berikannya kepada Bumiputera,” kata CEO Institut Massa M Nizam Mashar kepada The Malaysian Insight.
“Pada masa sama, perniagaan Ali Baba tidak akan diterima,” kata Nizam, merujuk kepada situasi usahawan Bumiputera era pentadbiran BN yang mendapat kontrak dan permit tetapi menjualnya kepada usahawan bukan Bumiputera untuk meraih keuntungan mudah.

Pada 20 Januari lalu, pakar ekonomi ternama dari Universiti Malaya Prof Edmund Terence Gomez menyuarakan kebimbangan yang WKB hanyalah penjenamaan semula DEB, agenda pembangunan era 1980-an yang bermatlamat menghapuskan kemiskinan dan merapatkan jurang pendapatan antara kaum dalam Malaysia.
Menggelarkan WKB seperti “penjenamaan semula DEB”, Gomez berkata pendekatan agenda nasional terbaru itu serupa dengan pendekatan berasaskan kaum diamalkan DEB.
Gomez yang banyak membuat kajian mengenai kegagalan dasar afirmatif pentadbiran BN, turut mempersoalkan kemampuan PH menghalang WKB daripada dijarah kumpulan berkepentingan dalam pentadbirannya sendiri.

“Kita tak akan terus meminta maaf untuk apa yang sudah berlaku (di bawah BN),” kata Khalid daripada PKR lagi.
“Dasar bertujuan membantu kumpulan Bumiputera berpendapatan rendah dijarah dan itu adalah pengkhianatan. Kita akan betulkan kesilapan lama, dan kerana itulah pembaharuan institusi penting,” katanya lagi.
Tian Chua pula menjelaskan sistem dan kaedah teliti akan digunakan bagi menentukan kelayakan pihak memohon bantuan berbanding amalan era DEB.
“Misalnya, dahulu, hanya kerana IC kata anda Melayu dan Islam, anda akan dapat pinjaman mikro. Kita tidak akan buat begitu lagi kerana kita tak tengok kaum tetapi juga pendapatan isi rumah dan tempat tinggal anda.
“Jadi bila kita beri bantuan, bukan hanya orang Melayu miskin akan dapat, tetapi juga Orang Asli, Sabah dan Sarawak serta orang India dan Cina yang miskin.” – 23 Januari, 2020.
Komen