Tarikh muktamad peralihan kuasa diumum bila tiba masa, kata Guan Eng


Ragananthini Vethasalam

Majlis Presiden PH akan bermesyuarat dan saya pasti tarikhnya akan dimuktamadkan, kemudian akan diumumkan pada masa yang sesuai, kata Lim Guan Eng. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 22 Januari, 2020.

MAJLIS Presiden Pakatan Harapan akan menetapkan tarikh peralihan kuasa perdana menteri dan ia akan diumumkan pada masa yang sesuai, kata Lim Guan Eng.

“Perdana Menteri (Dr Mahathir Mohamad) sudah tetapkan garis masanya. Sudah tentu Majlis Presiden PH akan bermesyuarat dan saya pasti tarikhnya akan dimuktamadkan, kemudian akan diumumkan pada masa yang sesuai,” kata menteri kewangan itu kepada pemberita pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) secara terbuka mendesak Dr Mahathir menetapkan tarikh muktamad untuk menyerahkan kuasa kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Mengulas isu ini, Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata perkara itu sukar dikawal meskipun perbincangan perlu dibuat secara dalaman.

“Saya rasa perbicangan hendaklah secara dalaman. Apabila ada budaya demokratik, sangat sukar untuk mengenakan ‘gag order’‘,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan bukan mahu menghalang tetapi mengingatkan pemimpin parti komponen PH bahawa berbalas kenyatan secara terbuka hanya akan memberi kelebihan kepada pembangkang.

“Jadi, marilah kita beri tumpuan kepada pentadbiran negara, dan isu ini akan diselesaikan secara dalaman.”

Desakan supaya Dr Mahathir menyerahkan kuasa kepada Anwar semakin kuat sejak Disember lalu selepas perdana menteri berkata akan berundur selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) pada November.

Awal hari ini, Anwar menggesa semua pihak dalam PH menghormati konsensus yang telah dipersetujui oleh empat parti dalam komponen itu pada Januari 2018.  – 22 Januari, 2020.

Berita penuh di sini.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen