ZURAIDA Kamaruddin hari ini membidas Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail yang semalam meminta naib presiden parti itu bertenang dan jawab surat tunjuk sebab yang dihantar kepadanya.
Zuraida yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan (KPKT) berkata beliau selama ini tenang ketika PKR berdepan isu dalaman, dan orang yang sepatutnya bertenang adalah Saifuddin.
“Saya masih bersama PKR untuk membangunkan parti. Beliau yang kena bertenang, bukan saya,” katanya selepas perhimpunan bulanan KPKT di Putrajaya hari ini.
Semalam, Saifuddin berkata Zuraida sepatutnya memberi tumpuan membalas surat tunjuk sebab dan bukannya bimbang Lembaga Displin PKR dipengaruhi pihak tertentu.
Zuraida diberi tempoh 14 hari menjawab surat tunjuk sebab yang diserah pada Jumaat lepas.
Walaupun PKR tidak menjelaskan pertuduhan ke atasnya, menteri itu semalam mendedahkan ia berkaitan tentang ucapannya pada majlis makan malam “Wawasan Kemakmuran Bersama 2030” di Hotel Renaissance pada 8 Disember 2019.
Ketika berucap pada majlis tersebut Zuraida dilaporkan berkata Presiden PKR Anwar Ibrahim cuba meyakinkannya bahawa Timbalan Presiden parti, Mohamed Azmin Ali adalah lelaki di dalam video seks yang tersebar pada Jun tahun lalu.
Zuraida yang diketahui umum menyokong Azmin, berkata ucapan beliau itu disebut dalam surat tunjuk berkenaan.
Peguam Negara Tommy Thomas pada minggu lepas berkata timbalan pendakwa raya tidak akan mendakwa mana-mana pihak berhubung rakaman video seks itu kerana siasatan pakar dalam dan luar negara tidak dapat mengenal pasti dengan muktamad identiti pelakunya.
Rakaman seks yang menunjukkan dua lelaki berhubungan intim tersebar melalui WhatsApp pada awal pagi 11 Jun 2018.
Bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz kemudian membuat pengakuan beliaulah lelaki dalam rakaman itu dan menuduh Azmin pasangannya. – 21 Januari, 2020.
Komen