Jawab surat tunjuk sebab dahulu, kata setiausaha PKR kepada Zuraida


Ravin Palanisamy

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution berkata Zuraida Kamaruddin tidak perlu bimbang tentang pengaruh kepimpinan parti terhadap Lembaga Displin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Januari, 2020.

NAIB Presiden PKR Zuraida Kamaruddin sepatutnya memberi tumpuan membalas surat tunjuk sebab dan bukannya bimbang Lembaga Displin PKR dipengaruhi pihak tertentu, kata Setiausaha Agung Saifuddin Nasution.

“Daripada beritahu Lembaga Displin perlu buat keputusan tanpa pengaruh kepimpinan parti, saya syorkan Zuraida beri tumpuan kepada pertuduhan (surat tunjuk sebab) yang dihantar kepadanya,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke NSK Trade City di Kuchai Lama sempena sambutan Tahun Baharu Cina, hari ini.

Saifuddin yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna berkata, sebaik sahaja tarikh pendengaran kes ditetapkan, Zuraida perlu tampil di hadapan Lembaga Displin untuk membuat penjelasan.

“Bila Lembaga Displin tetapkan tarikh (untuk pendengaran), beliau perlu datang beri penjelasan. Kemudian, biarkan proses (keadilan) berlaku.

“Tak perlu cakap ada pengaruh sana sini,” katanya lagi.

Pada 17 Januari lalu, Zuraida diberikan surat tunjuk sebab oleh Lembaga Displin PKR dan diberikan tempoh 14 hari untuk menjawab pertuduhan ke atasnya.

Walaupun PKR tidak menjelaskan pertuduhan ke atas Zuraida, menteri itu semalam mendedahkan ia berkaitan tentang ucapannya pada majlis makan malam “Wawasan Kemakmuran Bersama 2030” di Hotel Renaissance pada 8 Disember 2019.

Majlis itu dianjurkan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali untuk penyokongnya.

Saifuddin yang ditanya sama ada ahli PKR lain yang juga mendapat surat tunjuk sebab, berkata beliau tidak mempunyai maklumat mengenainya dan hanya berperanan memaklumkan keputusan Lembaga Displin itu kepada media.

“Apa yang saya beritahu media dua hari lepas, itulah yang dilaporkan kepada Majlis Pimpinan Pusat PKR oleh Pengerusi Lembaga Displin Ahmad Kassim.

“Sebagai setiausaha agung, saya beritahunya kepada media,” katanya, menambah yang keahlian bekas exco Pemuda PKR Mohd Akmal Hisyam Ahmad Tamyiz juga digantung parti.

Akmal dilaporkan ditahan polis bersama-sama Adun Dengkil daripada Bersatu Adhif Syan Abdullah dalam pesta dadah minggu lepas. – 20 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen