SISTEM pendidikan Malaysia mesti mampu mempersiapkan rakyatnya untuk menyara hidup, dan untuk itu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mahu penekanan diberikan kepada mata pelajaran Bahasa Inggeris serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Sistem sekolah kebangsaan sekarang terlalu banyak memberi tumpuan kepada pengajian agama Islam, sehingga menjadikannya seperti sekolah agama, kata perdana menteri, yang memangku jawatan menteri pendidikan.
“Banyak waktu pembelajaran diperuntukkan untuk mengajar agama. Kita sediakan masa yang cukup untuk mengajar agama tetapi selebihnya mesti tumpu pada STEM,” kata Dr Mahathir dalam satu pertemuan di Langkawi, semalam.
Jelas beliau, seorang pelajar beragama Islam bukan saja mesti tumbuh membesar jadi Muslim yang baik tetapi mesti juga jadi Muslim yang berpengatahuan.
“Dia tidak boleh jadi Muslim yang tahu petik ayat Quran tetapi tidak ikut ajaran Quran,” tambahnya.
Ini adalah kali pertama Dr Mahathir mengulas dengan panjang lebar mengenai soal pendidikan sejak mengambil tanggungjawab portfolio itu awal bulan ini.
Menurut Dr Mahathir, beliau sudah membincangkan perkara ini dengan Dr Maszlee Malik, yang sudah memulakan usaha ke arah itu semasa beliau masih menteri pendidikan sebelum ini.
Maszlee letak jawatan pada 3 Januari lalu atas nasihat perdana menteri kerana dikatakan sering membuat keputusan yang meletakkan kerajaan dalam keadaan sukar.
__full.jpg)
Sekolah kebangsaan
“Sekolah kebangsaan sudah ditukar jadi sekolah agama. Mereka mesti balik jadi sekolah kebangsaan. Sekolah kebangsaan mesti menarik pada semua kaum,” katanya.
Dr Mahathir turut menarik perhatian mengenai salah faham umat Islam tentang hidup di dunia dan akhirat.
Katanya, banyak ibu bapa seolah-olah lupa akan tanggungjawab mereka di dunia dan memberikan perhatian hanya pada hidup selepas mati di akhirat.
“Sikap fatalistik (bergantung pada nasib) pada ibu bapa ini sangat teruk. Mereka diberitahu tentang akhirat tetapi bagaimana tentang hidup ini?
“Islam kata kita jangan lupa peranan kita di dunia. Ya, kita boleh bersedia untuk hidup selepas mati tetapi dunia ini juga sama pentingnya.
“Banyak pegawai pendidikan mereka tidak faham tentang agama. Apabila seseorang kata inilah agama, mereka tidak boleh berhujah. Mereka terima saja,” katanya.
Enam bulan selepas Dr Mahathir mengetuai pentadbiran baru di Putrajaya susulan kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14, The Malaysian Insight melaporkan perdana menteri meminta Maszlee memulakan proses semakan sukatan pelajaran di sekolah.
Dr Mahathir membuat permintaan itu beliau melihat sendiri jadual pembelajaran harian yang di sekolah rendah dan menengah.
Beliau dilaporkan hairan kenapa generasi yang keluar dari sistem pendidikan negara masih tidak mempunyai nilai dan integriti yang baik walaupun banyak masa diperuntukkan untuk belajar agama.
The Malaysian Insight difahamkan mata pelajaran pendidikan Islam diajar enam waktu seminggu di sekolah rendah kebangsaan berbanding 10 waktu masing-masing bagi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Mata pelajaran Matematik diajar enam kali seminggu sementara Sains empat kali.
Pada April 2019, Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara menyerahkan laporan dan cadangan kepada Kementerian Pendidikan untuk menambah baik sistem pendidikan negara. Laporan itu sedang diperhalusi di peringkat kementerian, sebelum dibentangkan semula kepada Jemaah Menteri perakuan. – 21 Januari, 2020.
Komen