Asal-usul PM mahu Maszlee rombak kurikulum sekolah


The Malaysian Insight

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan meminta beliau melakukan semakan ke atas sistem pendidikan di negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 November, 2018

PERDANA Menteri Mahathir Mohamad mahu merombak sistem pendidikan dengan menyeluruh selepas melihat jadual pembelajaran sekolah, kira-kira dua minggu sebelum beliau pertama kali mendedahkan hasratnya itu kepada umum, kata sumber kerajaan.

Beliau hairan kenapa begitu banyak masa diperuntukkan bagi mata pelajaran pengajian agama, ketiga paling tinggi selepas Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, tetapi generasi yang dilahirkan tidak juga ada nilai dan integriti yang baik.

“PM minta nak tengok jadual sekolah sebelum lawatan ke Jepun,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Sehari selepas pulang dari lawatan ke Jepun dan selepas mesyuarat kabinet pada sebelah paginya, Dr Mahathir memanggil Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik untuk satu perbincangan di Putrajaya.

Dalam pertemuan pada Jumaat lepas, beliau memberi mandat kepada Maszlee untuk menyemak semula kurikulum dan jadual pembelajaran itu dengan matlamat melahirkan rakyat yang berpegang pada nilai hidup yang baik termasuk etika dan budaya kerja yang tinggi.

“Dr Mahathir hairan kenapa budaya kerja kita tidak bagus walaupun misalnya, jadual pembelajaran menekankan mata pelajaran agama,” kata sumber yang maklum mengenai amanat perdana menteri itu, kepada The Malaysian Insight.

Dr Mahathir turut meluahkan bagaimana beliau sudah bercakap mengenai pembentukan nilai dan etika melalui pendidikan sejak jadi menteri pelajaran, antara 1974 dan 1977.

Perdana menteri terkilan isu itu masih belum dapat ditangani, dan beliau masih berharap ia dapat direalisasikan sekarang selagi hayatnya ada, kata sumber.

Dalam satu pertemuan dengan diaspora Malaysia di Singapura tiga hari kemudian, Dr Mahathir berkata sistem pendidikan yang ada sekarang perlu dirombak kerana “apa yang dipelajari bukanlah apa yang sepatutnya mereka belajar.”

“Kita perlu ubah kurikulam dan jadual pembelajaran di sekolah,” kata Dr Mahathir seperti dipetik media.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata kementeriannya akan memperkenalkan elemen anti rasuah dalam mata pelajaran sivik mulai tahun hadapan. –  Gambar fail The Malaysian Insight, 15 November, 2018

Semasa lawatannya ke Jepun, Dr Mahathir turut mengulangi keyakinannya Malaysia akan berjaya jika rakyat ada etika kerja, pemikiran dan nilai seperti orang Jepun.

Maszlee yang mengikuti lawatan tersebut dalam lawatan kerja berasingan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatan di Jepun, Masahiko Shibayama serta melawat sekolah awam di Tokyo.

The Malaysian Insight difahamkan mata pelajaran Pendidikan Islam diajar sekurang-kurangnya 98 jam setahun di sekolah rendah kebangsaan berbanding 160 jam masing-masing bagi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Di sekolah menengah pula, Pendidikan Islam diajar sekurang-kurangnya 128 jam setahun, sama seperti masa untuk Bahasa Melayu. Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik diajar minimum 112 jam setahun di sekolah menengah.

Pendidikan Moral pula diajar sekurang-kurangnya 96 jam setahun di sekolah rendah kebangsaan dan di sekolah menengah.

Maszlee kelmarin mengumumkan kurikulum baru sekolah dijangka akan mula dilaksanakan pada hujung 2020 atau 2021. Katanya, kurikulum baru itu akan dilaksanakan secara berperingkat, bergantung pada nasihat jawatankuasa dasar dan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan.

Menurut Maszlee, beliau akan mengatur pertemuan antara Dr Mahathir dengan ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan untuk berbincang mengenai sistem pendidikan yang perdana menteri bayangkan.

Kelmarin juga, Maszlee berkata Kementerian Pendidikan akan memperkenalkan elemen anti rasuah dalam mata pelajaran sivik mulai pertengahan tahun depan.

“Subjek ini bukan sebagai subjek wajib lulus tetap subjek yang wajib untuk dipelajari,” katanya, seperti dipetik Bernama.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu turut menepis desas-desus beliau antara menteri yang akan digugurkan dalam rombakan kabinet yang dijangka tidak lagi.

Katanya, laporan itu tidak betul kerana Dr Mahathir sendiri meminta beliau untuk melakukan semakan ke atas sistem pendidikan, yang akan mengambil masa satu penggal Parlimen.

Jelas Maszlee, beliau komited mahu meneruskan perjuangan Dr Mahathir mengubah sikap dan budaya rakyat Malaysia agar jadi lebih rajin, lebih bermoral dan lebih beretika, seperti yang selalu disentuh perdana menteri itu dalam banyak ucapannya.

“Ini cabaran dan tanggungjawab besar pada saya,” katanya, seperti dipetik Bernama. – 15 November, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen