KEKALAHAN Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis disebabkan rakyat Sabah belum merasai kebaikan di bawah pemerintahan baharu, kata Dr Mahathir Mohamad.
Namun beliau optimis rakyat Sabah akan tetap menerima rakan sekutu Pakatan Harapan (PH) itu sebagai pemerintah di negeri itu, katanya.
“Itu (kekalahan di Kimanis) adalah pendapat rakyat Sabah, mereka belum rasa kebaikan daripada pemerintahan baru (Warisan).
“Kerana segala kita lakukan perlu ambil masa, macam kita buat dasar baru untuk pertanian dia tak boleh hari ini (buat) esok dapat hasil.
“Saya yakin lama-kelamaan rakyat Sabah akan sedar mereka dapat pemerintahan yang lebih baik kerana Warisan berkuasa,” kata beliau kepada pemberita dalam satu majlis di Alor Setar, Kedah.
Dr Mahathir juga berkata, beliau akan menyiasat punca kekalahan hari ini yang dianggapnya lebih teruk berbanding kekalahan Pakatan dalam empat PRK sejak Mei 2018
“Kita akan tentukan sebab-sebab yang kita kalah. (Kekalahan ini) lagi teruk daripada dulu. Kita hendak tahu kenapa, apa yang rakyat rasa kecewa dengan pemerintahan sekarang,” katanya.
Beliau turut mengakui, kekalahan tersebut mungkin berpunca daripada kegagalan kerajaan untuk menjelaskan kejayaan yang telah dicapai kepada rakyat.
Sementara itu Presiden PKR Anwar Ibrahim menganggap keputusan hari ini penilaian teruk ke atas gabungan parti pemerintah.
Tegasnya, PH perlu bertindak untuk menangani kebimbangan yang disuarakan rakyat.
Calon BN Mohamad Alamin, 48, menang dengan majoriti 2,029 undi selepas meraih 12,706 undi berbanding lawannya, Karim Bujang dari parti Warisan yang mendapat 10,677 undi.
Kekalahan di Kimanis merupakan yang kelima daripada 10 PRK yang sudah berlangsung sejak pilihan raya umum Mei 2018.
PRK Kimanis diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 16 Ogos 2019 membatalkan kemenangan Anifah Aman di kerusi itu dalan PRU 2018. – 18 Januari, 2020.
Komen