Tindakan harus diambil, kata Anwar lepas Pakatan gagal tawan Kimanis


Anwar Ibrahim ketika ditemui pemberita mengulas tentang kekalahan parti Warisan di PRK Kimanis. – Gambar ihsan Pejabat Anwar Ibrahim, 18 Januari, 2020.

PAKATAN Harapan (PH) perlu menerima bahawa kekalahan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis hari ini merupakan keputusan teruk untuk gabungan pemerintah, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Susulan itu, beliau berkata PH perlu bertindak untuk menangani kebimbangan yang disuarakan rakyat.

“Kalau tak dapat terima kenyataan ini, kesannya parah kerana (kekalahan) nampak sudah menyeluruh ke seluruh negara.

“Saya tidak fikir kita perlu menyalahkan sesiapa tetapi tindakan perlu diambil,” katanya ketika ditanya sama ada kekalahan PRK Kimanis disebabkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di satu majlis sambutan Tahun Baharu Cina di Port Dickson hari ini.

Calon Barisan Nasional Mohamad Alamin, 48, menang dengan majoriti 2,029 undi selepas meraih 12,706 undi berbanding lawannya, Karim Bujang dari parti Warisan yang mendapat 10,677 undi.

Kekalahan di Kimanis merupakan yang kelima daripada 10 PRK yang sudah berlangsung sejak pilihan raya umum Mei 2018.

PH menang dalam PRK di Sungai Kandis, Balakong, Seri Setia, Port Dickson dan Sandakan manakala BN menang di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai dan terbaru di Kimanis.

Anwar berkata isu ekonomi, kemudahan dan infrastruktur merupakan masalah jelas yang perlu ditangani di Sabah.

“Saya percaya Sabah di bawah kepimpinan Warisan dan Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal, dan di bawah PH, kita akan terus meningkatkan usaha.”

“Jelas masalah rakyat berkait dengan ekonomi. Saya meluangkan masa sehari di sana dan dapat melihat keinginan mereka untuk perubahan infrastruktur dan InsyaAllah, kita akan melakukan yang terbaik selepas ini.” – 18 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen