BARISAN Nasional (BN) mengambil semula kerusi Parlimen Kimanis dengan mengalahkan calon dari parti komponen Pakatan Harapan (PH).
Calon BN Mohamad Alamin, 48, menang dengan majoriti 2,029 undi selepas meraih 12,706 undi berbanding lawannya, Karim Bujang dari parti Warisan yang mendapat 10,677 undi.
Jumlah undi rosak adalah sebanyak 320 manakala peratusan keluar undi pula 79.92%, jumlah paling tinggi berbanding sembilan pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini.
Keputusan kemenangan BN itu diumumkan oleh pegawai daerah Jupari@Jupry Eto di pusat pengiraan undi di Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir pada pukul 9.30 malam.
PRK Parlimen Kimanis merupakan pilihan raya kecil ke-10 sejak PRU14 pada Mei 2018.
PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar Anifah Aman bagi kerusi itu pada PRU14 lepas.
Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Karim merupakan bekas Dun Bongawan selama lima penggal dan ketua Warisan Kimanis manakala Mohamad adalah ketua Umno Kimanis.
Warisan yang mengetuai kerajaan negeri di Sabah merupakan sekutu kerajaan persekutuan yang dipimpin Pakatan Harapan (PH).
Anifah yang memenangi kerusi Kimanis menerusi tiket BN, keluar Umno pada September 2018 untuk menjadi ahli Parlimen bebas.
Beliau memegang kerusi itu selama 20 tahun selepas memenanginya kali pertama pada 1999.
Pada pilihan raya umum lepas, Anifah menang tipis 156 undi selepas meraih 11,942 undi berbanding 11,786 undi yang dimilik Karim.
Calon ketiga, Jaafar Ismail dari Parti Harapan Rakyat Sabah mendapat 1,300 undi.
Kemenangan di Kimanis menyaksikan BN dan PH masing-masing mencatatkan lima kemenangan dalam 10 PRK sebelum ini.
PH menang dalam PRK di Sungai Kandis, Balakong, Seri Setia, Port Dickson dan Sandakan manakala BN menang di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai dan terbaru di Kimanis. – 18 Januari, 2020.
Komen