BARISAN Nasional (BN) dijangka mengekalkan kerusi Parlimen Kimanis berdasarkan keputusan tidak rasmi kiraan undi.
Berdasarkan pengiraan lebih separuh undi setakat 7.30 malam, calon BN Mohamad Alamin meraih 12,414 undi untuk mendahului calon Warisan, Karim Bujang yang mendapat 10,501 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan jumlah peratusan keluar undi lebih 80%.
Kimanis mempunyai 29,664 pengundi dengan sembilan didaftarkan sebagai pengundi awal dan seorang pengundi di luar negara.
Kawasan Parlimen itu mempunyai dua kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu Bongawan dan Membakut.
Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 16 Ogos 2019 membatalkan kemenangan Anifah Aman pada pilihan raya umum 2018.
Ini merupakan PRK ke-10 diadakan sejak Mei 2018.
Karim merupakan bekas Dun Bongawan selama lima penggal dan ketua Warisan Kimanis manakala Mohamad adalah ketua Umno Kimanis.
Warisan yang mengetuai kerajaan negeri di Sabah merupakan sekutu kerajaan persekutuan yang dipimpin Pakatan Harapan (PH).
Anifah yang memenangi kerusi Kimanis menerusi tiket BN, keluar Umno pada September 2018 untuk menjadi ahli Parlimen bebas.
Beliau memegang kerusi itu selama 20 tahun selepas memenanginya kali pertama pada 1999.
Pada pilihan raya umum lepas, Anifah menang tipis 156 undi selepas meraih 11,942 undi berbanding 11,786 undi yang dimilik Karim.
Calon ketiga, Jaafar Ismail dari Parti Harapan Rakyat Sabah mendapat 1,300 undi. – 18 Januari, 2020.
Komen