PSM patut ketuai blok pembangkang baharu


Izmil Amri

PARTI Tindakan Demokratik (DAP) sudah hampir sepuluh tahun menjadi kerajaan di Pulau Pinang, bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan anasir-anasir PAS yang kemudian menjadi Amanah.

Demikian juga halnya dengan PKR di Selangor yang bukan sahaja telah bertukar menteri besar, malah mengekalkan PAS dalam kabinet kerajaan, walaupun di luar Selangor mereka saling bertikam.

Pokoknya, DAP, PKR dan PAS (serta selumbarnya dalam Amanah) sudah jadi parti-parti kerajaan. PAS sebelum bercerai dari rumah Pakatan Rakyat, turut berkerajaan di Kedah, Perak dan Kelantan. Ada yang cuma sepenggal, ada yang dua; ada yang sudah berpenggal-penggal.

Hampir sepuluh tahun berlalu, parti-parti pembangkang ini sudah punya sikap parti kerajaan. Demikianlah sepatutnya. Mana boleh memerintah kalau kerjanya hanya tahu membantah-bantah dan mempersoal kos, ketelusan, prinsip dan sebagainya.

Itu tugas parti pembangkang. Dalam demokrasi yang berfungsi, parti-parti pembangkang punya peranan semak imbang bagi memastikan pihak kerajaan menjalankan tugas mentadbir dengan betul.

Fungsi parti pembangkang di dewan legislatif adalah untuk mempersoal dan menimbulkan keraguan, justeru menghadirkan rasa berjaga-jaga dalam kalangan pihak kerajaan. Maka yang mendapat manfaat daripada ekosistem yang berfungsi dengan baik ini adalah rakyat yang ditadbir oleh sebuah kerajaan yang berjaga-jaga.

Malang bagi kita, United Malays National Organisation (Umno) pula sebaliknya sudah terlalu biasa menikmati kekuasaan dan tidak begitu pandai memainkan peranan apabila dihumban ke blok pembangkang.

Kita ambil Pulau Pinang dan Selangor sebagai kajian kes.

Aci kerat jari, ramai dalam kalangan kita (yang membaca tulisan-tulisan bertema politik) langsung tidak kenal siapa dia ketua pembangkang di Dewan-dewan Negeri Selangor dan Pulau Pinang.

Ini tidak lain kerana Umno tidak mampu berfungsi untuk semak-imbang kerana ia memang terajar untuk tidak menyemak dan mengimbang, tidak dibenar mempersoal dan tidak boleh mempertikai. Maka ia duduk saja dalam DUN, menanti masa untuk menyerang isu-isu runcit yang ia mengerti.

Di Selangor sebenarnya lebih teruk lagi.

Dewan Negeri Selangor langsung tidak ada Ketua Pembangkang. Meski ditawarkan kereta rasmi, slot khas untuk berucap selain diberi jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) Selangor.

Pindaan terhadap Peraturan Tetap 13(1) dan 14(A) DUN menjamin hak ketua pembangkang berucap semasa dalam sidang bagi memberi peluang dan ruang kepada ketua pembangkang untuk berjidal dengan menteri besar.

Itu pun Umno tak mahu. Pembangkang di DUN Selangor terlihat kerjanya cuma sekadar menganga. Adun-adun DAP pula yang gigih kelihatan melakukan kerja semak imbang bagi pihak UMNO.

Apabila nanti Pakatan Harapan sudah bersiap menyusun kabinet kerajaan di Putrajaya, perlu ada penyusunan semula parti-parti pembangkang, supaya Dewan Rakyat tidak jadi sarkas yang membosankan.

Sementara ia bersiap mahu mengambil alih kerajaan, Pakatan Harapan juga harus mendorong kewujudan barisan pembangkang yang berfungsi. UMNO tidak boleh dibiar mengetuai blok pembangkang. Nescaya melingkuplah ia.

Maka harapnya Parti Sosialis Malaysia dapat terkedepan mengetuai blok pembangkang, dan mengajar Umno bagaimana untuk menjadi pembangkang yang berkesan.

PSM kini berada di tengah-tengah dua keekstreman.

Satu jalur ekstrem menyokong gagasan perdana menteri Najib Razak, yang kononnya mendakwa kita semua okay; walaupun skandal pengubahan wang haram berbilion dolar telah menabalkan Malaysia sebagai sebuah kleptokrasi global yang terpaksa mengutip cukai dari seluruh rakyatnya untuk menampung perbelanjaannya yang sarat hutang.

Jalur ekstrem yang satu lagi kini menjulang mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai wira yang menepati ramalan dan doa Almarhum Ustaz Fadzil Noor, untuk merobohkan legasi yang puluhan tahun dibina dengan tangannya sendiri.

PSM dan beberapa bahagian masyarakat sivil tidak tergolong dalam dua kelompok ini. Ia kekal dengan prinsip dan kepercayaan bahawa Umno itu jahat dan korup, dan Dr Mahathir itu tidak akan pernah boleh disucikan biar dibasuh dengan setempayan air mata bidadari.

Maka PSM mesti mengusahakan kemenangan agar boleh mengepalai blok pembangkang. Jangan biar PAS atau UMNO cuba naik kepala.

PSM lah pembangkang yang kita dambakan. – 4 November, 2017.

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen