Menteri kesihatan sokong prasarana RM1 juta untuk perokok


Diyana Ibrahim

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad tidak ada masalah dengan cadangan KPKT mahu membina tempat merokok dengan syarat tertentu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Januari, 2020.

MENTERI Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad menyokong penuh usaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan(KPKT) menyediakan kawasan khas merokok.

Katanya beliau tiada masalah dengan pembinaan prasarana dengan peruntukan RM1 juta tersebut, selagi ia mematuhi garis panduan ditetapkan.

Beliau juga menganggap usaha berkenaan membantu usaha kementeriannya melarang perbuatan merokok di restoran dan kedai makan.

“Ya, saya menyokong Menteri KPKT Zuraida Kamaruddin yang mahu bantu saya melaksanakan program saya sementara mematuhi larangan tiga meter atau 10 kaki,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur.

Beliau ditanya mengenai perkara itu susulan bantahan oleh kumpulan pakar perubatan yang melihat prasarana berkenaan sebagai sokonga kepada perokok.

Menurut pakar ini, dana RM1 juta untuk membina kawasan khas merokok di 155 kawasan kerajaan tempatan seluruh negara itu sepatutnya diguna untuk merawat perokok dan menghalang tabiat itu.

Namun menurut Dr Dzulkefly, usaha KPKT itu sebaliknya perlu dilihat sebagai alternatif kepada perokok yang masih lagi meneruskan tabiat itu, selagi mematuhi garis panduan ditetapkan.

“(Ia) mempertingkatkan usaha kami capai udara bersih yang bebas rokok di tempat makan awam,” katanya lagi.

Pada masa sama, beliau berkata kementeriannya sedang berusaha menyiapkan garis panduan berhubung pembinaan kawasan khas merokok secepat mungkin.

Beliau berkata garis panduan tersebut dijangka akan dapat dibentangkan pada Mac ini di Mesyuarat Majlis Negara bagi kerajaan tempatan. – 11 Januari, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen