PELAN komprehensif untuk memperbaharui sistem penjagaan kesihatan akan dibentangkan kepada Kabinet akhir bulan ini, lapor The Star Online.
Pelan yang akan dibentangkan oleh Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad, akan merangkumi cadangan mewujudkan sistem pembiayaan kesihatan yang mampan, mengkorporatkan sebahagian daripada infrastruktur penjagaan kesihatan kerajaan dan memperbaharui industri penjagaan kesihatan swasta, kata akhbar itu.
Pelan yang diberi nama Sihat Bersama 2030 dianggap sebagai versi sektor kesihatan bagi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Dzulkefly dilaporkan berkata pelan itu akan menangani masalah yang membelenggu sistem penjagaan kesihatan awam seperti tempoh menunggu yang lama dan kekurangan doktor di pusat kemudahan kerajaan.
Pelan ini juga dijangka akan menangani cabaran penduduk yang semakin tua dan peningkatan beban penyakit tidak berjangkit, kata Dzulkefly sebagaimana dilaporkan.
Sebaik sahaja pelan itu diluluskan oleh Kabinet, satu pasukan petugas akan ditubuhkan untuk memantau pelaksanaannya dan berunding dengan pihak berkepentingan. –1 Januari, 2020.
Komen