KERAJAAN merancang untuk membentangkan rang undang-undang ekonomi gig pada sidang Parlimen Mac ini, kata Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran.
“Kita sudah dapat kelulusan dasar asas yang diperlukan daripada Kabinet,” katanya pada seminar bertajuk “Employment Law Reforms: What Lies Ahead”, pagi tadi.
“Saya juga difahamkan oleh Bahagian Perundangan (kementerian) yang seminggu dua lagi saya boleh bentangkan RUU itu untuk kelulusan Kabinet,” tambahnya.
Jawatankuasa khas Kabinet terdiri daripada Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Ha Ehwal Pengguna ditugaskan untuk mengkaji peraturan untuk ekonomi gig.
Kulasegaran berkata pekerja gig perlu menerima perlindungan keselamatan sosial dan memberi lebih penjelasan peranan antara pekerja dan majikan.
Mengenai perlindungan keselamatan sosial (Perkeso), beliau berkata hanya 18% atau 46,162 daripada 250,000 pemandu bas, teksi dan perkhidmatan e-hailing menyumbang kepada Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.
Beliau berkata kesedaran mengenai keperluan untuk perlindungan Perkeso dalam kalangan pekerja masih rendah.
“Rakyat Malaysia perlu sedar untuk bayaran minima, anda dapat perlindungan. Jangan fikirkan diri sendiri. Fikir tentang keluarga anda dan lain-lain.
“Dan berapa bayaran perlindungan? Bagi kebanyakan mereka, tak sampai 30 sen atau 50 sen sehari. Malah lebih murah dari harga rokok,” katanya.
Pemandu teksi dan e-hailing disertakan dalam Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri bermula 1 November, 2018.– 9 Januari, 2020.
Komen