DEWAN Rakyat hari ini meluluskan usul untuk merujuk Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan kerana mengejak tanda dahi atau vibhuthi dipakai Ahli Parlimen Jelutong R.S.N Rayer.
Usul itu dibentangkan Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran.
Tajuddin mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat dua hari lepas apabila mempersoalkan sama ada abu tanda dahi dipakai Rayer adalah abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya Chin Peng.
“Pada Selasa, Tajuddin Abdul Rahman, ahli Parlimen untuk Pasir Salak membuat kenyataan menghina sangat serius dan tidak mengambil kira sensitiviti beragama penganut Hindu,” kata Kula ketika membentangkan usul itu.
Katanya, kejadian itu perlu dipandang serius kerana ia menyakiti sentimen wakil rakyat Hindu lain dan menjejaskan imej dewan yang mulia.
Kerana itu, Kula mencadangkan, wakil rakyat Umno itu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan kerana tindakannya boleh dianggap menghina dwan.
Timbalan Speaker Nga Kor Ming yang memantau sidang kemudian menjemput seorang wakil kedua-dua pihak untuk membahaskan usul itu.
Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) dicelah Noh Omar (BN-Tg Karang) yang mempersoalkan mengapa Tajuddin perlu dihukum lagi.
Perbahasan kemudian berubah menjadi acara jerit menjerit wakil dipilih rakyat dalam dewan.
Apabila desakan Nga supaya wakil rakyat berhenti berbalah, beliau berkata situasi begitu menggambarkan pembangkang tidak mahu membahaskan usul dan hanya mengacau wakil rakyat kerajaan memberi hujah menyokong usul.
“Pasir Salak, saya mahu beri awak peluang untuk mempertahankan diri. Tak perlu menjerit dan marah-marah kerana tidak ada faedah,” kata Nga.
Apabila perbalahan tidak menunjukkan tanda-tanda reda, Nga meneruskan proses pengundian pungutan suara.
“Lebih ramai suara tak setuju. Usul diterima,” kata Nga sebelum menangguhkan sidang Dewan.
Tajuddin yang ditemui wartawan di lobi Parlimen selepas sidang tamat, berkata beliau tidak faham mengapa isu tersebut diperbesarkan walhal beliau sudah menarik balik kenyataan dan minta maaf.
Tambahnya, beliau tidak bermaksud untuk menghina tapi sekadar guraun kepada ahli Parlimen Jelutong itu.
“Jelutong banyak buat gangguan semasa BN buat ucapan perbahasan. Jadi saya lihat gelagat dia saya ingat nak bagi dia berhenti duduk.
“Tidak ada penghinaan, banyak rakan-rakan yang WhatsApp saya kata saya tidak kutuk.
“Saya dah tarik balik dan minta maaf, jadi apa yang nak panjang-panjangkan lagi.
Beliau turut mendakwa DAP mempolitikkan isu itu sehingga ia diluluskan untuk dirujuk kepada jawatankuasa Parlimen.
Selasa lalu, Speaker Mohamad Arif Md Yusoff menggantung Tajuddin dan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) selama dua hari kerana gagal patuh arahan ketika berbahas tentang kewajaran kenyataan tanda dahi itu.
Usul terhadap Tajuddin adalah aturan mesyuarat terakhir untuk sesi Dewan Rakyat yang ditangguhkan sehingga Mac tahun depan. – 5 Disember, 2019.
Komen