Peraturan CRS tidak terpakai kepada kenderaan e-hailing


Ragananthini Vethasalam

Peraturan kerusi keselamatan kanak-kanak tidak terpakai kepada kenderaan e-hailing.– Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Januari, 2020.

PERATURAN kerusi keselamatan kanak-kanak atau CRS untuk kenderaan persendirian dikuatkuasa pada 1 Januari lalu tidak terpakai kepada kenderaan e-hailing, kata Kementerian Pengangkutan.

“E-hailing adalah kenderaan pengangkutan awam jadi ia tidak terpakai sebagai kenderaan kegunaan persendirian,” kata pegawai kepada menteri pengangkutan kepada The Malaysian Insight.

Keperluan kerusi keselamatan kanak-kanak untuk kenderaan persendirian menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pemandu e-hailing.

“Tidak ada pengumuman yang jelas. Kami hanya bimbang bahawa tiba-tiba kami mungkin diminta untuk memasangnya. Sekiranya RM50, okay. Tetapi ini RM200-300,” kata pemandu Grab yang hanya mahu dikenali sebagai Sha.

Pemandu berkenaan juga berkata, perkara itu turut berkait rapat dengan hasil pulangan pelaburan.

“Kita tidak tahu berapa kerap kita akan dapat penumpang dengan anak-anak yang memerlukan kerusi kereta,” katanya.

Sementara itu, Grab turut menjawab persoalan berhubung keperluan pemandunya menyediakan tempat duduk kepada penumpang yang membawa bayi.

“Buat masa ini, pemandu perlu sediakan kerusi kanak-kanak untuk penumpang yang membawa anak. Bagaimanapun, kami masih membincangkan dengan pihak berkuasa berhubung perkara ini dan akan mengumumkannya tidak lama lagi. Terima kasih atas perhatian,” katanya menerusi Twitter.

Pada 20 Disember lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata keperluan itu hanya tertakluk kepada kenderaan persendirian sahaja.

Loke juga berkata, tiada saman akan dikeluarkan kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan itu dalam enam bulan pertama selepas ia dikuatkuasa.– 5 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen