PENANGGUHAN Program Subsidi Petrol (PSP) adalah bagi mengkaji kesan terperinci program itu supaya ia tidak membebankan keseluruhan rakyat, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Katanya, apabila PSP dilaksanakan, harga minyak akan diapungkan dan kajian impak perlu dilakukan.
“Kita nak dapatkan reaksi banyak pihak bukan sahaja pengguna tetapi daripada pelbagai pihak tentang cadangan untuk benarkan harga minyak diapungkan satu atau dua sen seminggu.
“Mereka bimbang kesannya kalau diapungkan, itu yang kita nak bincang,” katanya kepada media di Pulau Pinang, hari ini.
Buat masa sekarang, harga siling runcit untuk RON95 adalah RM2.08 seliter dan diesel berharga RM2.18 seliter, hanya harga RON97 diapungkan.
PSP yang diumumkan Oktober lalu sepatutnya bermula hari ini, tetapi ditangguhkan dengan pengumuman dibuat pada 30 Disember lalu oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution Ismail.
Antara punca diberikan adalah lebih banyak masa diperlukan untuk pendaftaran penerima subsidi dan menghebahkan maklumat mekanisme itu kepada rakyat.
KPDNHEP juga masih tidak mempunyai sebarang ketetapan waktu PSP akan dilaksanakan dan akan menunggu arahan daripada Kabinet, kata Saifuddin.
Lim menjelaskan sebab penangguhan itu bagi membalas kecaman dibuat MCA yang mengkritik tindakan itu.
“Ini nak tanya (kepada MCA-BN). Adakah ini pendirian mereka nak harga minyak diapungkan sampai harga pasaran tanpa ambil kira kesan rakyat?
“Mereka mungkin tidak ambil peduli tapi kerajaan Pakatan Harapan ambil berat dan peduli kesan kepada rakyat,” tambahnya.
PSP diumumkan dalam Belanjawan 2020 dengan peruntukan RM2.4 bilion itu disasarkan kepada lapan bilion pengguna dari kelompok B40 dan M40.
Semasa pengumuman itu dibuat, Lim berkata ia melibatkan kategori penerima Bantuan Sara Hidup yang akan mendapat RM30 sebulan untuk kereta atau RM12 sebulan bagi motosikal.
Katanya ia akan diberikan dalam bentuk pemindahan wang tunai yang akan masuk ke akaun bank setiap empat bulan, dengan bayaran pertama pada April 2020.
Kategori kedua pula melibatkan penerima dengan kad khas yang akan menerima subsidi 30 sen seliter sehingga 100 liter sebulan bagi kereta dan sehingga 40 liter bagi motosikal. – 1 Januari, 2020.
Komen