Subsidi petrol bersasar ditangguhkan, kata menteri


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution Ismail berkata, subsidi itu diteruskan mengikut kaedah sedia ada pada masa ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Disember, 2019.

PROGRAM Subsidi Petrol yang sepatutnya bermula pada Januari ditangguhkan sehingga diumumkan kemudian, kata Saifuddin Nasution.

Katanya Kabinet memutuskan bagi memberi penjelasan kempen itu terlebih dahulu dan bagi proses pendaftaran penerima dari kumpulan M40.

Oleh itu subsidi itu diteruskan mengikut kaedah sedia ada pada masa ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu dalam satu kenyataan.

“Mesyuarat Kabinet pada 18 Disember 2019 memutuskan pelaksanaan yang dijadualkan bermula Januari 2020 tidak diteruskan sehingga satu masa yang akan akan diumum kemudian,” katanya.

Program subsidi yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 dengan peruntukan RM2.4 bilion itu disasarkan untuk seramai 8 bilion pengguna dari kelompok B40 dan M40.

Semasa pengumuman itu Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata ia melibatkan kategori penerima Bantuan Sara Hidup yang akan mendapat RM30 sebulan untuk kereta atau RM12 sebulan bagi motosikal.

Katanya ia akan diberikan dalam bentuk pemindahan wang tunai yang akan masuk ke akaun bank setiap empat bulan, dengan bayaran pertama pada April 2020.

Kategori kedua pula melibatkan penerima dengan kad khas yang akan menerima subsidi 30 sen seliter sehingga 100 liter sebulan bagi kereta dan sehingga 40 liter bagi motosikal.

Kad berkenaan akan diperkenal secara berperingkat bemula suku pertama 2020, katanya.

Pada masa sama, harga runcit petrol RON95 dan diesel juga akan diapung secara berperingkat, katanya.

Penganalisis, seperti Ilham Centre, memberi peringatan Putrajaya akan hilang populariti jika subsidi petrol bersasar itu diteruskan.

Walau apa pun mekanisme yang digunakan, rakyat melihat harga petrol akan naik, kata badan kajian itu yang meneliti sikap pengundi ke atas Pakatan Harapan dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai bulan lalu.– 30 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen