Beban kerja doktor sudah tinggi tapi pesakit makin ramai


Zaim Ibrahim

Beberapa doktor berkata mereka sering bekerja lebih masa kerana kekurangan doktor dan bimbang keadaan itu semakin buruk. – Gambar EPA, 30 Disember, 2019.

KALANGAN pegawai perubatan di hospital kerajaan resah kerana jumlah kakitangan mereka masih belum mencukupi untuk menangani jumlah pesakit yang dijangka akan bertambah.

Beberapa doktor yang ditemui The Malaysian Insight, berkata mereka sememangnya sering bekerja lebih masa kerana kekurangan doktor dan bimbang keadaan itu semakin buruk.

Salah seorang doktor hospital kerajaan di Kepala Batas berkata, masalah kekurangan doktor ini dilihat tidak berubah sejak mula berkhidmat pada tahun 1990.

“Saya sendiri melihat kesesakan di hospital ini berlaku sejak baru bekerja dahulu, tetapi waktu itu kita faham Malaysia memang kurang doktor.

“Tetapi, seperti sekarang dengan jumlah doktor yang makin bertambah, doktor perlu merawat ramai pesakit kerana kurang kakitangan di hospital awam,” kata beliau ketika ditemui The Malaysian Insight.

Jumlah pesakit di hospital awam itu dijangka terus meningkat apabila kerajaan memansuhkan kawalan fi perundingan atau caj rawatan klinik serta klinik pergigian swasta pada awal bulan ini.

Dengan pemansuhan itu, pengamal perubatan swasta dapat menentukan sendiri kadar fi perundingan yang dikenakan ke atas pesakit dan dijangka akan menaikkan kos rawatan.

Laporan Ketua Audit Negara 2018 ke atas Kementerian Kesihatan pula mendapati kekurangan doktor yang serius di Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD) di hospital awam.

Laporan itu menyebut, ETD seluruh negara sesak apabila jumlah kunjungan pesakit melebihi tahap penjagaan yang ditetapkan, iaitu antara 5.7% hingga 95.6 %.

Audit mendapati ETD mengalami kekurangan penjawatan iaitu antara 11.6% hingga 53.1% berbanding bilangan penjawatan yang diperlukan mengikut piawai antarabangsa.

Kekurangan paling besar adalah untuk pakar kecemasan pada kadar 75.6% hingga 79.5% selain pegawai perubatan antara 41.2% hingga 64.6%.

Laporan itu juga mendapati, petugas ETD hadapi beban tugas yang tinggi, kurang peralatan perubatan, ruang yang terhad dan ketidakupayaan ICT.

Namun menurut doktor yang ditemui The Malaysian Insight, laporan audit tersebut tidak menunjukkan perkara sebenar.

“Realitinya setiap jabatan hadapi masalah kekurangan staf dan lambakan pesakit,” katanya.

Jelasnya, keadaan itu berlaku kerana ramai doktor yang memilih berkhidmat di hospital atau klinik swasta kerana mampu meraih gaji yang lebih tinggi.

“Doktor yang jalani latihan dua hingga tahun di hospital kerajaan lebih memilih bekerja di klinik kerana gaji lebih tinggi, pakar perubatan pula ke hospital swasta disebabkan gaji lumayan,” katanya.

Menurut doktor berkenaan, kerajaan tidak akan dapat menangani masalah ini untuk masa akan datang kecuali Malaysia mencontohi sistem kesihatan di United Kingdom (UK).

“UK menggunakan sistem National Health Service (NHS) iaitu mencukaikan setiap rakyat untuk perkhidmatan kesihatan. Hasil daripada cukai itu, kerajaan akan menambah lagi dana satu kali ganda bergantung kepada hasil cukai.

“Dengan kaedah ini, sistem perkhidmatan kesihatan akan sentiasa ditambah baik dan boleh atasi masalah yang dilaporkan Jabatan Audit,” katanya yang menambah NHS sudah dicontohi negara seperti Taiwan.

Masalah kekurangan kakitangan dan peralatan itu diakui banyak berlaku di hospital kecil, kata seorang pakar perunding jantung Hospital Pulau Pinang, Dr Shahul Hamid.

“Di hospital besar dipanggil sebagai ‘tertiary centre’, tidak ada masalah kekurangan staf dan kemudahan-kemudahan pun biasanya cukup.

“Masalah-masalah ini sering berlaku di hospital kecil seperti di Kulim, Baling, atau di Bukit Mertajam. Disebabkan ramai pesakit, hospital menjadi sesak dan fasiliti perubatan juga tidak cukup,” katanya.

Menyentuh mengenai kekurangan kakitang, beliau berkata Malaysia mempunyai ramai doktor tetapi kebanyakannya hanya ditawar bekerja secara kontrak.

“Doktor itu ada, yang tiada penjawatan. Doktor masih bekerja tetapi secara kontrak. Doktor di hospital-hospital awam tidak cukup sebab kekurangan penjawatan yang ditawarkan kerajaan,” jelasnya.

Malah kerajaan juga tidak lagi dapat menyerap sepenuhnya keseluruhan pegawai perubatan siswazah dalam kalangan pelajar tajaan kerajaan.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad pada bulan lalu berkata penyerapan pelajar yang tamat latihan itu tertakluk kepada kekosongan jawatan.

Tempoh maksimun untuk lantikan kontrak pula ditetapkan lima tahun iaitu tiga tahun bagi latihan siswazah dan dua tahun bagi khidmat wajib.

Sehingga November lalu, seramai 6,307 orang graduan ditawarkan lantikan kontrak dan seramai 1,152 orang lagi masih menunggu.

Kekurangan doktor ini menyebabkan ramai kakitangan terpaksa bekerja lebih masa, seperti dikeluh seorang doktor pelatih di Hospital Seberang Jaya.

Katanya tempoh bekerja lebih daripada syif yang ditetapkan adalah perkara biasa memandangkan hospital itu kekurangan kakitangan kerana Hospital Seberang Jaya tangani kes tiga hospital berbeza,

“Pada pendapat saya, nisbah seorang doktor dan pesakit melebihi daripada sepatutnya iaitu 1:20 pesakit.

“Perkara ini berlaku kerana Hospital Seberang Jaya perlu menangani kes-kes yang melibatkan Hospital Kepala Batas, Hospital Bukit Mertajam, dan Hospital Sungai Bakap,” jelas beliau.

Kebimbangan mengenai kenaikan kos itu disuarakan badan seperti Pemuda MCA yang menuntut kerajaan mengembalikan khidmat Klinik 1Malaysia untuk golongan berpendapatan rendah. – 30 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen