KERAJAAN memutuskan kawalan fi perundingan atau caj rawatan klinik serta klinik pergigian swasta dimansuhkan pada 7 Disember lalu.
Apa yang berlaku?
Dengan itu, pengamal perubatan swasta dapat menentukan sendiri kadar fi perundingan yang dikenakan ke atas pesakit.
Isu caj rawatan ini dibangkitkan semula tahun lalu apabila cadangan mengasingkan dispensari dan memisahkan fungsi klinik dan farmasi dalam Rang Undang-Undang Farmasi giat diperkatakan.
Rang Undang-Undang itu akan menggabungkan undang-undang pramerdeka Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951, Akta Racun 1952, Akta Jualan Dadah 1952 dan Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956.
Para pengamal perubatan menentang cadangan pengasingan itu kerana ia akan menyekat mereka daripada mengeluarkan ubat kepada pesakit.
Pengamal perubatan ini menyatakan, sekiranya dispensari dipisahkan daripada klinik swasta, mereka tidak dapat bergantung kepada fi perundingan yang rendah antara RM10 dan RM35.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Dr Azman Abu Bakar, berkata kadar bayaran itu tidak disemak hampir 12 tahun – kali terakhir pada 2006.
Sejauh mana kesannya?
Pada pertengahan tahun ini, negara dikejutkan dengan penutupan hampir 500 klinik swasta yang menghadapi beban kewangan atas beberapa faktor.
Antara punca klinik swasta gulung tikar sejak beberapa tahun lepas ialah kos operasi yang meningkat sementara caj rawatan tidak berubah, menurut laporan waktu itu.
Naib Presiden Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (Perdim) Dr Wan Julia Sham Ariffin dipetik berkata klinik swasta itu juga tutup kerana tekanan daripada syarikat pengurusan perkhidmatan kesihatan.
Syarikat pengurusan perkhidmatan kesihatan ini menjadi pihak ketiga yang menganiaya doktor klinik persendirian.
Syarikat itu meraih komisen tinggi daripada caj yang dikenakan ke atas pesakit daripada syarikat dalam panel klinik terbabit.
Ia turut menyebabkan banyak klinik berdepan masalah aliran tunai kerana mengambil masa yang panjang untuk melunaskan tuntutan bayaran.
Apa tindakan penyelesaian?
Cadangan menaikkan fi perkhidmatan itu dibincangkan di antara kementerian dengan pengamal perubatan dalam satu sesi town hall pada Ogos 2017.
Antara persatuan yang menyertai sesi itu ialah Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Bagaimanapun keputusan dan rundingan untuk menaikkan caj tersebut tertangguh hampir dua tahun sebelum ia diumum mansuh 7 Disember lalu.
Menurut Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad, langkah pemansuhan itu bagi mendorong pengamal perubatan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan.
Beliau juga pada waktu itu memberi jaminan terdapat beberapa peraturan baharu dibuat bagi memastikan perkhidmatan yang lebih telus kepada pesakit.
Menurutnya, peraturan tersebut masih diperincikan masih dan dibincangkan di Kabinet dan dibentangkan kepada Majlis Tindakan Sara Hidup tahun lalu.
Apa reaksi pihak berkepentingan?
Banyak reaksi daripada NGO dan parti politik mengenai pemansuhan caj perundingan ini. Ada yang membantah dan ada yang mahu ia dilaksanakan dengan telus agar tidak membebankan ramai pihak.
Badan induk pengamal perubatan, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyambut baik keputusan yang dilihat memberi manfaat kepada rakyat dan ekosistem penjagaan kesihatan negara
Badan seperti Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM) pula mahu pengguna dilindungi melalui peraturan seperti mewajibkan klinik mempamerkan senarai caj rundingan.
Parti pembangkang seperti sayap pemuda MCA pula menggesa kerajaan mengembalikan perkhidmatan Klinik 1Malaysia untuk memberi perkhidmatan kepada golongan berpendapatan rendah.
Setiausaha Agung Pemuda MCA, Daniel Wa Wai How mendakwa pemansuhan kawalan itu akan menyebabkan kos perubatan meningkat dan membebankan golongan itu.
Kerajaan tahun lalu memutuskan menutup 45 Klinik 1Malaysia kerana disifatkan membazir dan tidak strategik.
Dr Dzulkefly Ahmad pada Mei lalu memberitahu Dewan Rakyat, pengguna masih dapat mengunjungi pusat kesihatan lain dalam lingkungan 5km dari klinik 1Malaysia yang ditutup. – 19 Disember, 2019.
Komen