Tertekan beban kewangan, lebih 500 klinik swasta tutup, kata persatuan doktor


Wan Julia juga memberitahu kebanyakan klinik berdepan masalah aliran tunai apabila TPA mengambil masa yang panjang sehingga enam bulan untuk melunaskan tuntutan bayaran daripada klinik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mei, 2019.

LEBIH 500 klinik swasta gulung tikar sejak beberapa tahun lepas akibat pelbagai tekanan antaranya kos operasi yang meningkat sementara caj rawatan tidak berubah sejak 27 tahun lalu, lapor BH Ahad.

Naib Presiden Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (Perdim) Dr Wan Julia Sham Ariffin dipetik berkata klinik swasta itu juga tutup kerana tekanan daripada syarikat pengurusan perkhidmatan kesihatan sebagai pihak ketiga (TPA) yang menganiaya doktor klinik persendirian.

Katanya, syarikat berkenaan menetapkan caj perundingan yang rendah iaitu antara RM10 dan RM15.

“Caj ini tidak masuk akal sedangkan di hospital swasta bayaran bagi prosedur sama boleh mencecah antara RM500 hingga RM3,000. Harga ubat dikenakan pesakit juga dihadkan sehingga menyamai kos pembeliannya.

“Selain itu, TPA juga menuntut komisen antara 10 hingga 25% daripada caj yang dikenakan ke atas pesakit daripada syarikat panel mereka, selain klinik dikenakan deposit sebanyak RM1,000 hingga RM5,000,” katanya, seperti dipetik BH Ahad.

Wan Julia juga memberitahu kebanyakan klinik berdepan masalah aliran tunai apabila TPA mengambil masa yang panjang sehingga enam bulan untuk melunaskan tuntutan bayaran daripada klinik.

Kajian Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mendapati hampir 70% klinik swasta pernah menghadapi masalah menuntut bayaran daripada TPA, kata laporan itu.

MMA melalui satu kajian mendapati 85.3% daripada klinik terbabit mempunyai baki tuntutan bayaran sebanyak 25% yang gagal dilunaskan TPA.

Kajian yang melibatkan 1,800 responden itu turut mendapati 11.5% mempunyai tunggakan bayaran sebanyak 25 hingga 50% manakala 3.2% mempunyak tunggakan lebih 50%.

Dapatan kajian ini disiarkan MMA menerusi Jurnal Dalaman KesihTN Awam yang diterbitkan 2017.

Dalam pada itu, kajian turut mendapati kira-kira 36% pengamal perubatan swasta mengaku menunggu sekitar 60 hingga 90% bayaran balik daripada TPA. – 26 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen