MENGIKUTI isu perpindahan dan perobohan rumah penduduk di Kampung Segambut Permai pada 24 Disember lalu menimbulkan fobia.
Luahan kekecewaan dan keserabutan fikiran penduduk dalam laporan The Malaysian Insght “Kami Bukan Setinggan” mengembalikan memori pada tragedi meroboh rumah di Kampung Wira Damai, Batu Caves pada 2003.
Tidak mudah mengurus dan berurusan dengan keluarga miskin atau warga marhean. Apalagi dalam soal rumah. Ia memerlukan sikap diplomatik yang luar biasa.
Orang miskin sentiasa hidup dengan ketakutan dan kegusaran. Rumah bagi mereka ialah nyawa dan maruah.
Saya petik sajak WS Rendra. Inilah sajak yang dibaca berulangkali ketika merakam, menyunting dan menyiapkan berita Tragedi Kampung Wira Damai pada 2003.
Orang-orang Miskin
“Orang-orang miskin di jalan,
yang tinggal di dalam selokan,
yang kalah di dalam pergulatan,
yang diledek oleh impian,
janganlah mereka ditinggalkan.”
Pada 13 Jun 2003, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), merobohkan 48 rumah panjang di Kampung Wira Damai, Batu Caves.
Tindakan ini bagi melaksanakan projek pembangunan di kawasan itu. Selain isu nasib manusia miskin yang tersisih, tindakan ini turut diselubungi pelbagai kecelaruan.
Antaranya termasuk kes korupsi dan skandal penipuan pampasan.

Visual berbelas keluarga yang terpaksa tinggal di dalam khemah plastik sangat menyentuh perasaan.
Nasib wanita tua yang mengidap demam denggi terbaring di atas hamparan plastik menimbulkan simpati awam.
Wanita ini enggan ke hospital kerana mempertahankan tapak rumahnya selepas dirobohkan.
“Kita kena main isu ini sampai menang,” kata wartawan Azizul Azwa.
Azizul mempunyai sentimen melebihi profesi seorang wartawan. Melihat puluhan keluarga hidup seperti pelarian, jiwa wartawan terdesak untuk berfikir sebagai manusia.
“Media lain hanya laporkan hal merobohkan rumah, tetapi mendiamkan diri terhadap lebih 60 nyawa yang terkandas,” kata Azizul.
Walaupun sudah 16 tahun tragedi Kampung Wira Damai berlalu, saya tidak lupa pada kemunculan seorang lelaki berkereta mewah pada malam hari.
Secara senyap-senyap, lelaki misteri itu menghulurkan bantuan kewangan. Pada malam hari, mangsa perobohan tidur di gubuk yang dibangun atas sisa runtuhan.
Wajah lelaki misteri itu kelihatan sangat kecewa. Satu petanda, kehidupan orang kaya di Kuala Lumpur turut terganggu dengan tragedi Kampung Wira Damai.
“Saya akan upah orang menebuk paip secara haram dan memastikan bekalan air bersih ada di sini,” kata lelaki itu.

Kami wartawan Edisi Siasat NTV7 berada di lokasi pada malam hari. Kami mahu merakamkan visual yang lebih bernilai kemanusiaan.
Keadaan kanak-kanak tidur di atas tanah berlapik plastik dan menjamah makan malam di bawah cahaya lampu suluh, mengukuhkan impak berita.
Kewartawanan dan kegelapan
Pada 2003, kewartawanan mengenai isu setinggan berada di jalan gelap. Laporan hanya bersifat maklumat tanpa citra kemanusiaan.
Ketika itu, banyak media massa mendapat pelbagai kontrak pengiklanan komersil dari agensi kerajaan negeri.
Hubungan komersil menyebabkan laporan berita tragedi ini dikawal, malah disenyapkan.
Pada dekad itu, satu hal biasa – ugutan menarik balik kontrak komersil melalui tekanan politik.
Bukan hal aneh pada ketika itu, isu perobohan rumah penduduk Kampung Wira Damai sengaja didiamkan.
Kisah kanak-kanak kecil tidur di tanah dan nasib warga tua yang bertarung maut akibat demam denggi diabaikan berita arus perdana.
Mengapa didiamkan?
Entah. Akhirat esok kita tahu jawapannya.
Dari Wira Damai ke Kampung Berembang
Tiga tahun selepas isu Kampung Wira Damai, tragedi yang sama menimpa penduduk Kampung Berembang, Ampang.
Pada 23 November 2006, berlaku satu lagi krisis meroboh rumah setinggan. Sekali lagi setinggan yang enggan berpindah terpaksa berteduh di dalam khemah plastik.
Selain rumah, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) turut merobohkan surau di Kampung Berembang pada 30 November.
Masyarakat generasi terakhir setinggan Kuala Lumpur waktu itu, terus berdepan dengan gelombang arus pembangunan yang rakus.
Suasana selepas robohnya Kampung Berembang menyebabkan lebih sepuluh keluarga meneruskan hidup dalam gubuk plastik.
Kejadian ini menjejaskan imej kerajaan BN. Visual penguatkuasa MPAJ dibantu anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) merobohkan rumah setinggan mencetuskan kemarahan awam.
Pertembungan antara penduduk dan pihak berkuasa pada hari perobohan menyebabkan 11 penduduk dan aktivis ditahan di balai polis daerah Ampang.
Suasana sangat tragik. Selepas 24 jam dirobohkan, Kampung Berembang bertukar menjadi ‘zon perang’ dengan penduduk yang enggan berpindah hidup ‘bergelimpangan’.
Pada era media sosial belum agresif, foto-foto statik yang disebarkan melalui emel menyebabkan isu perobohan Kampung Berembang tular.
Imej kerajaan jadi teruk di mata pencinta kemanusiaan.

Kes Segambut Permai kembalikan mimpi ngeri
Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berharap isu perobohan rumah di Kampung Segambut Permai minggu lalu, tidak dipolitikkan.
Realitinya, simpati masyarakat selalunya melangkaui batas politik.
Kita tetap mahu melihat Kuala Lumpur membangun. Namun, kita jadi ralat kalau penduduk miskin tidak diberikan perhatian.
Memang sukar berunding dengan penduduk miskin. Ketakutan orang miskin tidak mudah ditangani.
Walaupun orang miskin dianggap gagal menerima tawaran terbaik kerajaan, jalan akhir bukanlah membiarkan mereka menderita.
Laporan The Malaysia Insight mengenai suara hati penduduk Segambut Permai yang bakal kehilangan rumah bukan isu politik.
Semuanya mengenai kemanusiaan. Politik yang wajar tidak hanya memenangkan pembangunan. Politik jadi teruk sekiranya mengalahkan kemanusiaan.
“Pelbagai usaha dilakukan pihak kerajaan untuk membantu penduduk di Kampung Segambut Permai tetapi kami tidak dapat memenuhi semua permintaan,” kata Hannah melalui satu kenyataan.
Proses merobohkan rumah penduduk dilaksanakan mengikut perintah mahkamah bertarikh 26 September lalu.
Namun, dalam kes penduduk yang enggan berpindah, tindakan meroboh rumah mereka belum dilakukan.
“Mereka sepatutnya berpindah sejak 2010 ketika ada tawaran daripada Tenaga Nasional Berhad,” kata bekas penduduk Kampung Segambut Dalam yang enggan namanya disiarkan.
Menurutnya, mustahil kerajaan memenuhi semua syarat yang diminta. Tawaran menyediakan rumah dan pampasan tunai sudah wajar dan berbaloi.
“Kami dulu juga risau kerana ditawarkan rumah sementara hanya setahun, tapi sampai sekarang, kontrak sewaan kami diperbaharui setiap tahun,” katanya.
Menurutnya, pada mulanya memang sukar menyesuaikan diri dengan kehidupan rumah pangsa, tetapi akhirnya ia lebih selesa.
“Keadaan berubah apabila kita memilih untuk berubah,” jelasnya.
Kepada pihak berkuasa, elakkan tragedi Kampung Wira Damai dan Kampung Berembang berulang. Impak kemanusiaan pasti amat besar.
Kepada penduduk Kampung Segambut Permai, permintaan keterlaluan pasti sukar dipenuhi.
Hormati arahan mahkamah, kerana undang-undang sudah memutuskan tanah harus dikosongkan. – 29 Disember, 2019.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen