Kami bukan setinggan, kata penduduk Kg Segambut Permai


Mohd Farhan Darwis

Seorang penduduk Kampung Segambut Permai, Kuala Lumpur, melihat runtuhan rumahnya yang dirobohkan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 27 Disember, 2019.

PENDUDUK Kampung Segambut Permai di Kuala Lumpur, yang rumah mereka dirobohkan minggu ini untuk memberi jalan kepada pembangunan, mengharapkan pihak berkuasa lebih berhati perut dalam menguruskan isu perpindahan mereka yang diusir dari tanah yang mereka teroka dan duduki sejak puluhan tahun lalu.

Rumah yang diberikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada 33 keluarga sekarang, kata mereka, tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya bakal menambah masalah baharu yang lebih besar.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, penempatan baharu itu akan membebankan mereka di kemudian hari, terutama ketika penggal persekolahan akan bermula minggu depan.

Penempatan sementara yang disediakan oleh pihak berkuasa, yang di beberapa rumah pangsa di sekitar Kuala Lumpur, jauh dari sekolah anak-anak dan tempat kerja penduduk – yang akan menambah beban kos pengangkutan.

Rumah itu pula hanya untuk tempoh enam bulan saja, tambah mereka.

Mohd Fariz Ramli, wakil penduduk Kampung Segambut Permai yang diarahkan berpindah berkata, pada peringkat awal perbincangan antara penduduk, pemaju, dan Kementerian Wilayah Persekutuan, mereka dijanjikan rumah alternatif.

“Saya kerja di sini, dapat rumah transit di Seri Petaling, Sungai Besi. Alhamdulillah, saya bersyukur, walaupun lepas enam bulan kena pindah semula. Tapi (selepas ini) berulang-alik ke tempat kerja… kalau jalan tak sesak, (ambil masa) 40 minit jugalah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Wakil penduduk Kampung Segambut Permai Mohd Fariz Ramli berkata mereka dijanjikan rumah alternatif, bukan rumah transit. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 27 Disember, 2019.

Beliau ditemui selepas pihak pemaju merobohkan beberapa unit kediaman di Kampung Segambut Permai, sehari sebelum Krismas.

Fariz juga memberitahu penduduk yang diusir kini ditempatkan di beberapa flat di sekitar Kuala Lumpur.

“Kami ditempatkan berselerakan. Ada di flat San Peng, Kerinci, Seri Petaling, dan beberapa kawasan lain, tapi tiada langsung dapat di flat berhampiran sini… di Jinjang, Sentul, atau kawasan sekitar.

“Bila kami tanya pihak berkuasa, mereka kata semua sudah penuh… tak masuk akal,” tambahnya.

Bagi Katherasan Supramaniam, tindakan merobohkan rumah di Kampung Segambut Permai menimbulkan masalah kepada anaknya yang akan naik ke Tingkatan 1 minggu depan, apabila tahun persekolahan dibuka pada Rabu.

“Sekarang saya dan keluarga terima rumah transit di flat San Peng. Saya bekerja di Sentul, kalau saya daftar anak saya di kawasan San Peng, kemudian 6 bulan selepas saya kena pindah rumah, anak saya kena pindah sekolah lagi… mana ada sekolah boleh tumpang macam itu.

“Kalau daftar anak saya di Sentul, berapa jauh saya perlu ulang-alik setiap hari.

“Ini semua nak menyusahkan orang, mereka bukan fikir itu semua,” katanya.

Katherasan, 45, menetap di Kampung Segambut Permai sejak kecil bersama ibu dan lima keluarga besarnya yang lain – 17 orang kesemuanya dalam sebuah rumah peninggalan mendiang bapanya.

Lebih sukar untuk Katherasan, keluarga besarnya hanya diberikan dua unit rumah flat.

Beliau dan keluarganya diberikan unit satu bilik di flat San Peng, manakala ibunya di flat tiga bilik di Pantai Ria.

Ibunya Kamala Samel, 64, menghidap kencing manis dan perlu berulang alik menjalani rawatan di pusat kesihatan.

Menurut Katherasan, selama ini beliau dan adik-beradiknya menjaga ibu bersama-sama.

Kamala juga menjaga semua cucunya ketika ibu bapa mereka keluar bekerja.

“Nanti bila pindah ke San Peng siapa nak tengok anak-anak, tambah kos lagi, perjalanan pergi balik kerja, anak sekolah, teruklah,” katanya.

S Katherasan menetap di Kampung Segambut Permai sejak kecil bersama ibu dan lima keluarga besarnya yang lain. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 27 Disember, 2019.

Keluarganya juga mengeluh kerana selepas enam bulan, nasib mereka akan kembali terumbang-ambing sekiranya diarahkan keluar dari rumah sementara itu.

Jirannya Thamayanthi Rajoo, 55, juga buntu dengan nasib 10 ahli keluarga termasuk anak dan cucunya selepas dua minggu ini, kerana ditempatkan di flat San Peng.

“Kami mahu unit PPR, ada tiga bilik, bukan satu bilik. Kami mahu sewa beli, bukan unit transit.

“Kalau tidak, kami akan bina khemah di sini.

“Dulu kami hidup tenang di sini walaupun dikelilingi belukar,” kata ibu tunggal yang bekerja sebagai tukang masak.

Sementara itu, Fariz juga berkata, akujanji tiga pihak menjanjikan setiap keluarga akan menerima unit kediaman alternatif, dan bukannya unit transit.

Namun DBKL setakat ini, katanya hanya menyediakan rumah transit kepada 22 daripada 33 keluarga yang terlibat manakala nasib 11 keluarga lagi masih di awang-awangan.

“Akujanji lain, sekali jadinya lain, sehingga hari ini, belum ada seorang pun penduduk yang menerima kunci rumah,” katanya.

Kesemua 33 keluarga itu adalah baki daripada 80 unit kediaman yang pernah berada di Kampung Segambut Permai.

Penduduk kampung itu juga melalui beberapa siri perpindahan, antaranya melibatkan pembinaan menara pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke)

“Kami sedia berpindah, tapi perlu ada tempatnya, rumah, dan sebagainya, kalau rumah tidak ada, mana kami nak letak barang-barang kami, mana kami nak tinggal,” kata Fariz.

Beliau menjelaskan Kampung Segambut Permai asalnya dikenali dengan nama Kampung Ayam. Perkampungan itu mula diteroka sekitar 1960-an apabila menteri besar Selangor Harun Idris pada waktu itu menjemput masyarakat Melayu berhijrah ke bandar untuk mengimbangi pecahan penduduk.

Mereka bukan menceroboh tanah itu sebaliknya mereka keturunan peneroka asal yang membuka kampung di kawasan bekas lombong.

Susulan notis pengusiran terhadap 33 keluarga itu, Kampung Segambut Permai kini hanya tinggal nama – tanpa penduduknya.

Fariz berkata menjelang tempoh pengusiran akhir pada 6 Januari, penduduk tidak lagi akan mengambil jalan rundingan.

“Kami akan ke bangunan DBKL untuk tuntut hak kami.

“Kami peneroka, tapi dilayan lebih teruk daripada setinggan,” katanya. – 27 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen