2019: Tahun BN mengaum kembali


Chan Kok Leong

SUDAH lebih dari 20 bulan sejak pilihan raya umum lalu, namun tampaknya politik negara masih terus bergolak dengan pertelingkahan politik yang terus menghantui Pakatan Harapan.

Bagi Barisan Nasional, 2019 adalah tahun yang dinantikan bagi melihat gabungan politik itu bangkit semula.

Walaupun kini mereka kehilangan ramai ahli Parlimen, Adun dan senator yang melompat parti dan bergabung dengan Bersatu selain menyaksikan kejatuhan mereka di Sabah pada awal tahun ini, 2019 bagaimanapun dilihat memberi harapan positif kerana BN menjalani tahun ini dengan empat kemenangan dalam pilihan raya kecil.

Walaupun sering dikatakan bahawa keputusan pilihan raya kecil tidak menunjukkan keputusan pilihan raya umum yang akan datang, namun ia dapat memberikan petunjuk mengenai hal-hal yang berlaku pada masa akan datang.

Tiga pilihan raya kecil

BN memulakan 2019 dengan pencapaian membanggakan apabila mengekalkan kerusi Cameron Highlands pada 26 Januari. Walaupun kegembiraan itu hanya seketika dinikmati mereka berikutan tujuh anggota parlimen Umno berhijrah kepada Bersatu pada 12 Februari, namun BN masih dapat mengekalkan rentaknya untuk mengecap mata tambahan.

Dengan meletakkan calon dari suku Semai Ramli Mohd Nor berbanding calon MIC, BN menunjukkan bahawa mereka sanggup memecahkan tradisi dan berfikir di luar kebiasaan.

Dan dengan meletakkan calon yang tidak mempunyai beban politik, BN menunjukkan bahawa mereka bersedia mengorbankan muhibah parti komponen demi menewaskan Pakatan Harapan. Perkara ini kini menjadi keutamaan BN.

Lebih daripada itu, Cameron Highlands juga memberikan gambaran mengenai kerjasama antara Umno dan PAS. Dan sememangnya, kedua-dua parti itu mempunyai bilangan ahli paling banyak dengan Umno yang mempunyai tiga juta ahli dan PAS pula mempunyai satu juta ahli setia di negara ini.

Bahkan, PRK Cameron Highlands juga menjadi pentas kemunculan semula Najib Razak untuk kembali aktif berpolitik. Walaupun, beliau muncul di PRK Sg Kandis pada 2018, Umno pada ketika itu masih tidak pasti sama ada kemunculan Najib di kempen pilihan raya sebagai satu idea yang baik kerana beliau adalah orang yang bertanggungjawab di atas kekalahan BN.

Namun wujud juga suara yang mengatakan Najib mesti memainkan peranan di Cameron Highlands, kerana ia adalah negeri asal bekas perdana menteri itu.

Namun jelas akhirnya, idea itu berperanan penting di Cameron Highlands. Najib diterima baik di negeri asalnya kerana ramai peneroka Felda mengingati bonus tinggi dari kelapa sawit.

Dengan menggunakan kekuatan baru ini, BN kemudian mengecap kemenangan di DUN Semenyih dengan mendapat mejoriti 1,914 undi dari jumlah keseluruhan 9,000 undi. Walaupun terdapat faktor-faktor lain yang menyebabkan Pakatan kalah di Semenyih, faktor kerjasama Umno dan PAS tidak lagi boleh dilihat kecil.

Belum pun sempat merayakan kemenangan di Semenyih, BN sekali lagi digegarkan oleh berita bahawa Umno kehilangan empat orang ahli Parlimen apabila dua wakil rakyat dan dua senator dari Sabah berhijrah dan masuk Bersatu. Hal ini menyebabkan cawangan mereka di Sabah hampir ditutup.

Walau bagaimanapun, kehilangan ahli parlimen tidak banyak memberi kesan pada pilihan raya kecil ketiga di Rantau kerana Mohamad Hasan dengan mudah mempertahankan kerusi itu.

Pilihan raya kecil terakhir

Tidak terjejas dengan penghijrahan 11 ahli Parlimen, Umno bertungkus-lumus dalam usahanya untuk kerjasama parti Melayu super baru dengan menjalin kerjasama dengan PAS.

Bersama PAS, Umno kini mula memecah sokongan kepada Pakatan yang kini dilihat rapuh dengan menggelar pakatan politik itu sebagai anti-Melayu dan anti-Islam.

Menggunakan contoh pemotongan belanjawan kepada nelayan dan petani dan di samping menunjukkan bahawa kerajaan Pakatan diketuai oleh DAP yang majoriti diwakili kaum Cina, serangan saraf mentah itu berjaya memecahkan segmen pengundi Melayu.

Hasilnya, kempen “Buy Muslim First” yang diperkenalkan NGO Gerakan Pembela Ummah menjadi topik hangat pada bulan Ogos. Walaupun kempen itu tidak berjaya sepenuhnya, ia bagaimanapun berjaya memaksa penganjuran Kongres Maruah Melayu pada 25 Ogos untuk memulihkan sokongan Melayu terhadap Pakatan.

PAS dan Umno tidak secara rasmi memboikot kempen tersebut, tetapi menggunakan peluang tersebut untuk mengadakan konvensyen Perpaduan Ummah Nasional pada 25 Ogos bersama-sama dengan NGO Ummah.

Berikutan kejayaan konvensyen itu, Umno dan PAS mula berbincang mengenai kerjasama politik formal. Persahabatan mereka memerlukan lebih banyak kerjasama selain membantu dalam kempen pilihan raya kecil dan sudah tiba masanya untuk merasmikan hubungan mesra yang sudah pun bermula sejak tahun 2015.

Akhirnya, pada 14 September, Umno dan PAS meleraikan permusuhan selama empat dekad apabila Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Dr Ahmad Zahid Hamidi menandatangani perjanjian di hadapan ribuan penyokong dari kedua belah pihak. Umno kini tidak lagi menjadi parti “kafir” dan PAS tidak lagi menjadi parti kampung.

Walau bagaimanapun, tidak jelas sama ada ia memberi kesan dalam PRK Tg Piai, Umno, MCA dan PAS kemudian menempa kemenangan di kerusi Parlimen itu pada 16 November, dengan margin 38.86% selepas kekalahannya setahun lebih awal sebanyak 1%.

Semasa kempen Tg Piai, BN memperkenalkan sentuhan baru kepada Muafakat Nasional. Setelah mengunci undi Melayu dengan muafakat Umno-PAS, kini BN sedar bahawa mereka perlu menang bagi mendapatkan sokongan bukan Melayu dan akhirnya menjayakan rancangannya bagi memenangi Putrajaya dalam PRU15.

Dan apa yang lebih menarik, tugas itu nampaknya digalas bekas presiden Umno Najib Razak yang menjadi tajuk berita utama di pentas ceramah berlumpur di Kg Lubok Sawah di Pekan Nanas, apabila beliau menangkis tohmahan terhadapnya di atas pentas.

BN mungkin menamatkan tahun 2019 dengan kehilangan 10 Ahli Parlimen (selepas kehilangan 11 wakil rakyat kepada Bersatu dan walaupun menang di Tg Piai) namun ia berjaya menemui jalan keluar dari kekusutan politiknya.

Bersama PAS, ia mendapat undi Melayu. Ia kini hanya memerlukan sebahagian undi bukan Melayu untuk melengkapkan sekeping papan susun suai bagi menawan Putrajaya.

Berdasarkan keputusan Tg Piai dan ketidakpastian yang bergolak dalam kerajaan Pakatan, gabungan BN dan PAS baru sememangnya berada dalam kedudukan yang sangat baik menjelang 2020. – 29 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen