PROSIDING disiplin terhadap bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein atas tuduhan melanggar perlembagaan dan tataetika sebagai ahli parti yang dijadualkan pada hari ini tidak diteruskan tanpa alasan yang jelas.
Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Mohamed Apandi Ali berkata prosiding tersebut tidak dibatalkan tetapi beliau enggan memberikan butiran lanjut alasan “penangguhan” tersebut.
“Siapa kata batal? Saya tidak pernah batalkannya.
“Mesti ada sebab kenapa prosiding ditangguh,” katanya dalam pesanan mesej menerusi WhatsApp kepada media, hari ini.
Pada 16 Disember lalu, The Malaysian Insight melaporkan Lembaga Disiplin Umno memanggil Hishammuddin untuk memberi penjelasan atas tuduhan tidak mengikut perintah parti, tidak menjalankan dasar parti, serta tidak menjaga nama baik dan maruah parti.
Sehari kemudian, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dipetik berkata surat tunjuk sebab bertarikh 13 Disember itu tidak sah.
Beliau juga berkata tiada sebarang tindakan lanjut akan diambil terhadap Hishammuddin dan pihaknya menganggap kes tersebut sudah selesai.
Hishammuddin dalam respons terhadap laporan mengenai surat tunjuk sebab itu mengingatkan Lembaga Disiplin Umno supaya tidak mengeruhkan keadaan apabila mendakwa beliau melanggar perlembagaan dan tataetika sebagai ahli Umno.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam, yang hadir untuk prosiding hari ini, kecewa kerana mendakwa ada usaha untuk menyekat Lembaga Disiplin Umno menjalankan siasatan secara bebas.
Katanya, beliau datang setelah mendapat panggilan daripada Apandi supaya hadir, dua hari lalu.
Lokman pada 30 Oktober lalu membuat laporan kepada Lembaga Disiplin mengenai penglibatan Hishammuddin yang dikatakan memujuk Ahli Parlimen Umno untuk masuk Bersatu.

Tanpa berselindung, Lokman menamakan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai individu yang menghalang siasatan lembaga disiplin.
Katanya, ini merupakan kali kedua siasatan terhadap Hishammuddin, yang juga Ketua Umno Bahagian Sembrong, dihalang oleh pucuk pimpinan parti.
“Presiden parti mengatakan pada kumpulan WhatsApp ketua bahagian Umno bahawa beliau telah mendapat kebenaran daripada perwakilan (untuk menghentikan siasatan dan tindakan terhadap Hishammuddin).
“Ini tidak benar sama sekali.
“Presiden membuat keputusan dia sendiri mengatakan bahawa perwakilan telah bersetuju supaya kes ditutup,” katanya kepada wartawan yang menunggu di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur.
The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan Zahid memaklumkan kepada para ketua bahagian bahawa Setiausaha Agung Umno Annuar Musa telah meminta Apandi menarik balik surat tunjuk sebab tersebut kerana “isu tersebut sudah selesai”.
Menurut Lokman, beliau telah melaksanakan apa yang harus dilakukan sebagai ahli parti dan berharap ahli-ahli parti yang lain menolak pemimpin yang menyokong Dr. Mahathir.
“Minta maaf cakaplah, dalam MT (Majlis Tertinggi) pun ramai yang bersama dengan Dr. Mahathir Mohamad.
“Apa pilihan lagi yang saya ada? Saya sudah buat laporan, tanggungjawab saya sudah selesai sekarang. Terpulanglah kepada ahli.
“Cuma saya minta satu hari nanti bila datang pemilihan parti, buanglah semua sekali orang yang bersama dengan Dr. Mahathir itu,” katanya. – 26 Disember, 2019.
Komen