Lembaga Disiplin Umno diminta tarik balik surat tunjuk sebab Hishammuddin Hussein, kata sumber


SM Amin

Lembaga Disiplin Umno dilapor memanggil bekas naib presiden Umno itu untuk memberi penjelasan pada 26 Disember ini atas tuduhan melanggar perlembagaan dan tataetika sebagai ahli Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Disember, 2019.

LEMBAGA Disiplin Umno diminta menarik balik surat tunjuk sebab kepada Hishammuddin Hussein atas pertuduhan melanggar perlembagaan parti kerana “isu tersebut sudah selesai”, kata sumber.

The Malaysian Insight difahamkan, perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam penjelasannya kepada para ketua bahagian parti.

Sumber memberitahu mereka dimaklumkan oleh Zahid bahawa Setiausaha Agung Umno Annuar Musa menyampaikan permintaan itu kepada pengerusi lembaga disiplin Mohamed Apandi Ali.

Sumber menjelaskan, Zahid turut memaklumkan isu berkaitan dengan Hishammuddin dianggap selesai selepas berakhir Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2019 minggu lalu.

“Zahid beritahu SUA Umno (Annuar) telah minta Apandi tarik balik surat itu.

“Dia beritahu isu tersebut sudah selesai seperti yang diucap dalam ucapan penggulungan presiden masa PAU hari itu,” kata sumber mendedahkan perkembangan terkini yang disampaikan oleh Zahid kepada kumpulan WhatsApp ketua bahagian Umno.

The Malaysian Insight cuba menghubungi Annuar untuk penjelasan namun tiada maklum balas.

Awal hari ini, The Malaysian Insight melaporkan Lembaga Disiplin Umno memanggil bekas naib presiden Umno itu untuk memberi penjelasan pada 26 Disember ini atas tuduhan melanggar perlembagaan dan tataetika sebagai ahli Umno.

Ketua Umno Bahagian Sembrong itu diminta hadir untuk menjawab dakwaan tidak mengikut perintah parti, tidak menjalankan dasar parti, serta tidak menjaga nama baik dan maruah parti, kata surat tunjuk sebab yang dilihat oleh The Malaysian Insight.

Menurut Apandi, lembaga disiplin bersidang pada tarikh tersebut selepas menerima aduan, dan setelah meneliti laporan panel penyiasatan.

Surat tunjuk sebab bertarikh 13 Disember itu juga meminta Hishammuddin memberikan penjelasan secara bertulis.

Sejak beberapa minggu lalu, beberapa ahli Umno menggesa parti mengambil tindakan terhadap Hishammuddin atas dakwaan menghasut wakil rakyat Umno keluar parti.

Bagaimanapun, Zahid dalam ucapan penggulungan presiden minggu lalu meminta supaya perwakilan dan ahli-ahli Umno tidak percaya 100% dengan laporan-laporan di media sosial.

Beliau juga meminta supaya pemimpin dan ahli Umno tidak menjadi batu api berhubung dakwaan wujud perbincangan daripada segelintir Ahli Parlimen Barisan Nasional yang cuba melakukan rundingan dengan pihak tertentu bagi membentuk kerajaan pintu belakang.

“Saya telah bertemu, dan mereka memberi jaminan akan terus tetap sebagai Ahli Parlimen Umno dan BN.

“Kami telah membuat keputusan ketika kami bertemu di Hotel Tamu Kg Baru beberapa waktu lalu.

“Kami sepakat sebarang tindakan dilakukan adalah bersama. InsyaAllah kita berikrar, kita bersatu hati hanya melalui pintu hadapan untuk membentuk kerajaan,” kata Zahid.

Pada 18 November lalu, beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional telah mengadakan perjumpaan dengan Mohamed Azmin Ali di kediamannya di Putrajaya yang dipercayai berkait dengan usaha mendapatkan sokongan terhadap Dr. Mahathir Mohamad untuk kekal sebagai perdana menteri. – 16 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen