PANGKALAN data untuk kegunaan dan pemprosesan kimia mesti dibangunkan dan ditetapkan sebagai mandatori bagi semua industri untuk membendung pembuangan bahan itu secara haram sehingga menyebabkan gangguan bekalan air secara besar-besaran seperti di Selangor baru-baru ini.
Pada masa ini, kilang-kilang yang tidak bertanggungjawab mengambil langkah mudah untuk membuang bahan kimia mereka ke dalam sungai dan bukan menghantarnya ke pusat pemprosesan kerana ia lebih murah, kata Persatuan Penyelidikan Air Dan Tenaga Malaysia (Awer).
Sukar untuk menangkap dalang yang melakukan perbuatan keji itu kerana pihak berkuasa tidak memiliki sumber manusia dan sumber daya untuk mengawal sungai yang merupakan sumber air mentah, kata Presiden Awer S Piarapakaran.
Bagaimanapun, kata beliau, jika semua syarikat yang menggunakan bahan kimia, dari bengkel kereta ke kilang-kilang minyak sawit, diproses dalam sebuah pangkalan data, pihak berkuasa akan dapat menjejaki penggunaan bahan kimia mereka.
Pangkalan data akan menjejaki sama ada syarikat-syarikat ini menyimpan dan membuang sisa kimia mereka dengan betul di pusat rawatan, seperti yang telah ditetapkan.
“Sekiranya syarikat tidak menghantar sisa kimia mereka tepat pada masanya atau tidak, pihak berkuasa boleh menghantar pegawai untuk menyemak kilang-kilang atau bengkel bagi melihat bagaimana mereka membuang bahan kimia,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Syarikat biasanya mengarahkan pekerja asing untuk mengambil bahan kimia itu dan membuangnya secara haram di kawasan terpencil untuk menjimatkan wang daripada menghantarnya ke pusat rawatan. Ini sebabnya sungai-sungai kita tercemar. “
“Pangkalan data sedemikian lebih murah daripada menyewa ribuan anggota penguat kuasa dan lebih berkesan daripada hanya berteriak mengenai sabotaj apabila pencemaran berlaku.”
Hujung minggu lalu, bekalan air bagi 1.5 juta penduduk di bahagian selatan Selangor terganggu apabila dua loji rawatan air (LRA) yang terpaksa ditutup.
Loji itu perlu ditutup selepas Sungai Semenyih, sumber air mentahnya, tercemar disebabkan pelarut dan minyak hitam dan disifatkan sebagai pembuangan haram.
Piarapakaran yang sering memberi khidmat saranan kepada pengawal selia dan penguatkuasa kerajaan, mengatakan pencemaran menyebabkan pihak pengurusan air dan pihak berkuasa membelanjakan jutaan ringgit untuk membersihkan kemudahan dan sungai mereka.
“Tetapi setiap kali pencemaran mencetuskan penutupan, mereka dipersalahkan, ketika itu bukan kesalahan mereka. Mencegah pencemaran adalah tanggungjawab Jabatan Alam Sekitar tetapi mereka kurang tenaga kerja.
“Pangkalan data menyelesaikan masalah ini dengan menjejaki semua pengimport, pengguna dan pemproses bahan kimia, besar dan kecil. Tetapi untuk memastikan ia berfungsi, semua orang mesti mengikut undang-undang dengan mendaftar.
Sekiranya pentadbiran Pakatan Harapan tidak melaksanakan sistem sedemikian, akan ada lebih banyak lagi pencemaran sungai yang menyebabkan lebih banyak gangguan bekalan air.
“Kita perlu menghabiskan lebih banyak wang untuk membersihkan pencemaran dan merawat air tercemar jika kita tidak membuat orang yang menggunakan bahan kimia lebih bertanggungjawab.” – 26 Disember, 2019.
Komen