SUDAH hampir dua tahun S Sathiswaran, 15, terbunuh serta merta selepas ditimpa sebuah kerusi yang dicampak ke bawah kawasan rumahnya di Projek Perumahan Rakyat Seri Pantai, Pantai Dalam, Kuala Lumpur, tetapi sehingga kini keluarganya masih tidak mendapat pembelaan sewajarnya.
Polis sudah mengelaskan kes itu sebagai kes bunuh tetapi keluargnya masih tidak mengetahui punca kematian anak kesayangan mereka itu.
Kebuntuan kes itu menyebabkan ibu Sathiswaran, S Kathuribai masih berduka dengan kehilangan anak bongsunya itu.
Bercakap kepada The Malaysian Insight, beliau meluahkan rasa kecewa dengan cara polis menguruskan kes itu, menuduh mereka menjalankan kerja sambil lewa.
Beliau menuntut jawapan mengapa siasatan kes dan pencarian pembunuh anaknya sehingga kini masih belum selesai.
“Sudah hampir dua tahun dan masih tiada keadilan untuk anak saya. Saya tak tahu apa yang polis buat. Sehingga sekarang, mereka tak beri perkembangan terkini kes kepada saya.
“Anak saya bukannya meninggal kerana sakit. Dia dibunuh di tempat ini, di depan mata saya. Saya pegang otaknya dengan tangan saya sendiri.
“Saya rasa polis sambil lewa siasat kerana kami orang miskin. Jika ini berlaku kepada orang yang ada kuasa atau berpengaruh, polis mungkin sudah jumpa siapa pembunuh itu sekarang.
“Hanya kerana kami miskin, mereka pandang kami endah tak endah,” kata Kasthuribai.

Apabila ditanya sekiranya beliau ada mengupah penguam untuk membawa kes itu ke mahkamah, pembantu kedai makan itu berkaya beliau tidak tahu bagaimana hendak mengupah peguam dan beliau juga tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk berbuat demikian.
Tambahnya, suaminya K Sathiasilan juga baru kehilangan kerja.
Kata ibu berusia 47 tahun itu lagi, sehingga sekarang beliau tidak pernah mendapat sebarang pampasan kerana kematian anaknya.
“Saya miskin. Suami baharu hilang kerja. Gaji tak banyak dan saya ada keluarga untuk dijaga. Bagaimana hendak upah peguam bila saya tak berduit? Saya tak tahu bagaimana hendak upah peguam. Tiada seorang pun datang hendak membantu saya dengan sukarela.
“Semua orang fikir saya dapat banyak duit tetapi sebenarnya duit yang saya dapat hanyalah derma pada hari pengebumian anak saya. Itu pun diguna untuk bayar belanja kebumi. Selepas itu, saya tak dapat sebarang pampasan,” katanya.

Pada 15 Januari 2018, Sathiswaran berada di kawasan lapang di tengah flat PPR Seri Pantai berama ibunya apabila sebuah kerusi yang dicampak daripada tingkat 21 menimpanya. Beliau terbunuh serta merta kerana kecederaan parah di kepala.
Kasthuribai juga berkata, beliau tidak mempunyai wang untuk membina kubur dan batu nisan untuk anak lelakinya. Malah, kadang-kadang ketika beliau melawat kubur anaknya itu, beliau susah hendak mengesannya.
“Saya tak ada duit pun untuk buat batu nisan kubur anak saya. Ada orang kata harganya beribu kalau hendak buat. Saya hanya mampu letak batu-bata sekeliling kubur, itupun harganya RM200. Kadang-kadang, susah hendak cari kuburnya kerana tidak bernama,” katanya.
Beliau kini adalah pencari nafkah tunggal untuk keluarganya disamping menjaga abangnya yang kelainan upaya. Menurut Kasthuribai lagi, banyak janji yang dibuat dahulu kepadanya sehingga kini masih belum dilunas.

Salah satu janji yang belum ditunai diberikan Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil.
Awal tahun ini, Fahmi berjanji keluarga Sathiswaran akan dipindahkan ke unit kediaman baharu blok sama, yang diberikan percuma di bawah skim Baiti-Jannati.
Bagaimanapun, sehingga sekarang Kasthuribai masih perlu membayar sewa rumahnya. Beliau juga menunjukkan notis merah amaran dikeluarkan DBKL kerana kegagalannya membayar sewa rumah.
“Saya diberitahu yang rumah itu percuma dan saya hanya perlu bayar caj penyeliaan tetapi sekarang saya perlu bayar sewa rumah pula. Sekarang, mereka keluarkan notis merah dan potong bekalan air kerana saya tak boleh bayar sewa sejak beberapa bulan lepas.
“Kenapa kata percuma bila saya tetap kena bayar? Saya rasa ditipu,” katanya.

Walaupun hidupnya kini penuh kesukaran, Kasthuribai masih berharap pembunuh anaknya akan ditangkap satu hari nanti. Tambahnya, beliau hanya mahu bertanya mengapa pembunuh itu mencampak kerusi yang membunuh anaknya.
15 Januari 2020 depan, genap dua tahun Sathiswaran, pelajar SMK La Salle Brickfields dibunuh, dan Kasthuribai berkata anaknya itu sepatutnya masuk Tingkatan 5 tahun depan, mengambil SPM dan mengejar cita-citanya menjadi seorang chef.
Tetapi, impian itu kini berkecai disebabkan tragedi malang itu. – 23 Disember, 2019.
Komen