AHLI Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil yang hadir pada upacara memperingati kematian mendiang Sathiswaran di flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai di Pantai Dalam, Kuala Lumpur berkata, polis sedang cuba sedaya upaya untuk menyiasat kes berkenaan dan meminta keluarga mendiang bersabar.
Fahmi berkata, beliau faham sukar untuk menerima kehilangan oleh keluarga namun beliau percaya keadilan perlu ditegakkan.
“Kes ini sangat rumit dan kompleks. Saya percaya pihak polis cuba sedaya upaya dan profesional dalam perkara ini. Saya rasa terdapat kerumitan dalam kes ini dan polis perlukan kes yang kukuh.
“Kehilangan nyawa sangat sukar diterima. Jadi, sama ada ia mengambil masa setahun, 10 tahun atau 100 tahun, itula yang diperlukan, kita perlu tegak keailan untuk Sathiswaran,” kata Fahmi kepada The Malaysian Insight.
Pada 15 Januari tahun lalu, Sathiswaran yang merupakan pelajar SMK La Salle Brickfields di Kuala Lumpur, berada di tingkat bawah flat berkenaan bersama ibunya S. Kasthuribai, apabila sebuah kerusi jatuh daripada tingkat 21 bangunan flat berkenaan sebelum mengenainya. Sathiswaran meninggal dunia akibat kecederaan di kepala.
Pengarah komunikasi PKR itu juga berkata, beliau turut memantau perkembangan kes berkenaan.
“Saya sentiasa berhubung dengan polis dan berharap akan dapat perkembangan daripada mereka tidak lama lagi. Saya ingin bantu mereka, sekurang-kurangnya dari segi emosi, tetapi sukar untuk berbuat demikian tanpa pendakwaan,” katanya.

Tambah Fahmi, keluarga Sathiswaran akan berpndah ke unit lain di blok yang sama, yang diberikan secara percuma kepada mereka.
“Ini di bawah skim Baiti-Jannati, yang bermakna apabila nilai unit yang diterima kira-kira RM35,000 hingga RM40,000, mereka tidak perlu bayar apa-apa, kecuali penyelenggaraan. Itu adalah komitmen yang dibuat.
“Saya mahu mereka pindah lebih awal, tetapi Kasthuribai minta ia dibuat selepas upacara sembahyang setahun. Jadi kita penuhi permintaan itu,” katanya.
Tambahnya, kematian Sathiswaran tidak sepatutnya berlaku.
“Kematian Sathiswaran boleh dielakkan. Ia tidak sepatutnya berlaku. Itu sebabnya dengan pemberian unit ini pun tidak mencukupi. Keadilan lebih penting buat keluarga ini, dan emosi.
“Saya akan terusan untuk menjaga keluarga ini dan mengambil berat perkata ini, tetapi ia akan mengambil masa.”
Semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa memberitahu The Malaysian Insight, polis mencuba sedaya upaya untuk mengesan pembunuh dalam kes itu.
“Kita mahu selesaikan, kes ini masih dibuka. Kita masih menyiasatnya. Namun masih tiada petunjuk berhubung kes ini,” katanya.– 3 Februari, 2019
Komen