Dalang pencemaran sungai perlu dikenal pasti, kata pengerusi SPAN


Noel Achariam

Gangguan bekalan air terbaru di Lembah Klang berlaku apabila loji rawatan air Sg Semenyih didapati tercemar pagi tadi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Disember, 2019.

DALANG kes pencemaran sungai yang kerap berulang di Selangor perlu dikenakan tindakan serius dan dipertanggungjawabkan, kata Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Charles Santiago.

Katanya, ini bagi mengekang peningkatan kes pencemaran sejak dua tahun lepas.

Tambahnya, dalam kes pencemaran sengaja dibuat, tindakan undang-undang perlu diambil.

“SPAN akan menjalankan siasatan dan kami akan mengambil tindakan undang-undang kepada mereka yang terlibat,” katanya kepada The Malaysian Insight, hari ini.

Katanya, kes pencemaran juga disebabkan oleh kelemahan penyeliaan kemudahan.

“Kita perlu menyemak semula aspek keselamatan, sekuriti dan prosedur operasi standard (SOP) dengan agensi berkaitan.”

Awal hari ini, loji rawatan air Sg Semenyih terpaksa ditutup sehingga menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di Lembah Klang.

Air Selangor masih tidak dapat memutuskan bilakah loji itu akan beroperasi semula.

Lembaga Urus Air Selangor (Luas) pula berkata loji itu terpaksa ditutup kerana pencemaran bau dikesan pagi tadi.

Santiago berkata Air Selangor masih menyiasat kes itu.

“Satu-satunya perkara yang diketahui sekarang ialah ia pencemaran bau.

“Ketika ini, kami masih tidak menentukan siapakah dalangnya dan perlu menunggu siasatan disiapkan,” kata Santiago lagi, menambah yang pencemaran loji air kini sudah menjadi masalah berulang. – 21 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen