Malaysia cadang tutup kedutaan di Pyongyang


Muzliza Mustafa

KERAJAAN Malaysia hari ini mungkin akan menutup kedutaannya di Korea Utara berhubung kebimbangan yang memuncak mengenai keselamatan di rantau Asia Pasifik, kata Perdana Menteri Najib Razak.

Beliau berkata hasrat itu telah disampaikan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dalam lawatannya ke Washington bulan lepas.

Tambahnya, Trump turut berkongsi pandangan sama mengenai tindakan Korea Utara itu yang telah mengadakan ujian peluru berpandu balistik.

“Saya telah nyatakan Malaysia telah mengambil langkah untuk mematuhi semua resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berhubung ancaman Korea Utara itu. Ini termasuklahlah dengan mengurangkan pegawai diplomat Korea Utara,” kata Najib mengaitkan perbincangannya dengan Trump kepada Parlimen hari ini.

Malaysia juga sedang mempertimbangkan hubungan dengan Korea Utara dalam pelbgai aspek termasuk hubungan diplomatik, politik, ekonomi. Malah sedang mempertimbangkan untuk menutup Kedutaan Malaysia di Pyongyang ke Beijing, katanya.

“Malaysia sekarang ini telah memperkenalkan visa kepada rakyat Korea Utara yang ingin datang ke sini,” katanya.

Hubungan Malaysia dan Korea Utara kian tegang sejak Februari lalu apabila berlakunya pembunuhan Kim Jong Nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.

Jong Nam mati sebaik mukanya disembur oleh senjata kimia VX oleh dua wanita di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2.

Kematiannya telah mengakibatkan tekanan hebat buat dua negara itu apalagi bila Korea Utara menuduh Malaysia bersekongkol dengan negara-negara yang memusuhi Korea Utara.

Sehubungan itu, Duta Korea Utara di Malaysia Kang Chol mengkritik hebat Malaysia.

Akibat daripada itu, dia telah diisytihar sebagai ‘persona non grata’ (orang yang tidak diterima oleh sesebuah negara) dan diminta untuk meninggalkan Malaysia dalam tempoh 48 hari.

Malaysia juga turut mengharamkan rakyat Korea Utara dari meninggalkan Malaysia yang mana tindakan itu juga dilakukan Pyongyang terhadap rakyat Malaysia di Korea Utara.

Malaysia turut menarik balik keistimewaan untuk datang ke Malaysia tanpa visa kepada rakyat Korea Utara. 

Sebelum itu, rakyat negara itu dibenarkan melawat ke Malaysia tanpa visa. – 30 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen